KOTA KINABALU, SABAH – Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengingatkan ketua jabatan dan agensi Kerajaan supaya terus mengekalkan intergriti dan akauntabiliti serta tadbir urus yang baik dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan.
Katanya ini bagi memastikan setiap projek pembangunan khususnya yang di bawah pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya maju dan dilaksanakan dengan baik.
“Ia termasuk memantau dan memastikan setiap peruntukan yang disalurkan kerajaan akan memberi manfaat sepenuhnya kepada kumpulan sasar di peringkat akar umbi,” katanya.
Hajiji berkata adalah penting aspek ini ditekankan pada setiap masa bagi meningkatkan keyakinan dan kepercayaan rakyat kepada kerajaan.
Menyampaikan ucapan pada majlis jamuan makan malam negeri sempena ulang tahun kelahiran Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin yang ke-69 di Dewan Bankuet Dewan Undangan Negeri dekat sini pada Sabtu, Ketua Menteri berkata:
“Alhamdulillah, dengan kestabilan politik, kesejahteraan sosial dan ekonomi yang semakin pulih, rakyat di negeri ini akan terus menikmati hasil pembangunan,” beliau berkata.
Ketua Menteri juga berharap keharmonian dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama di Sabah akan sentiasa terpelihara melalui sikap hormat-menghormati dan perpaduan.
“Oleh itu, adalah penting bagi kita untuk mempertingkatkan usaha dan tenaga untuk memacu pembangunan negeri dan meningkatkan taraf hidup rakyat.
“Saya menyeru kerjasama daripada semua barisan kepimpinan negeri untuk melaksanakan tanggungjawab dengan penuh telus dan ikhlas…
“Kita mesti komited sepenuhnya dengan mandat yang diberikan rakyat agar agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya dapat dicapai sepenuhnya,” katanya.
Hajiji turut memberi jaminan bahawa kerajaan negeri komited untuk memperkasakan keselamatan bagi memastikan negeri dan rakyatnya sentiasa dilindungi.