Konsert Israel Houghton Wajar Dibenar Jika Penuhi Syarat – Shafie

Konsert Israel Houghton Wajar Dibenar Jika Penuhi Syarat – Shafie

0
SHARE

KOTA KINABALU: Konsert yang dicadangkan melibatkan artis Kristian dari Amerika Syarikat, Israel Houghton bersama kumpulannya wajar dibenarkan diteruskan, tertakluk kepada kelulusan diperlukan serta peraturan yang berkuat kuasa.

Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, Sabah sejak sekian lama mendapat kekuatan daripada kehidupan rakyatnya yang hidup bersama merentasi kaum dan agama dengan setiap komuniti bebas mengamalkan kepercayaan masing-masing secara aman serta saling menghormati.

“Konsert yang dicadangkan oleh artis Kristian dari Amerika Syarikat, Israel Houghton, bersama kumpulannya, yang karya mereka diikuti oleh penganut Kristian di seluruh dunia termasuk di Sabah, wajar dibenarkan untuk diteruskan tertakluk kepada kelulusan yang diperlukan serta peraturan yang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan, pada Sabtu.

Shafie berkata, menyokong kebebasan penganut Kristian di Sabah untuk menghadiri perhimpunan berkenaan tidak bermaksud menyokong setiap pandangan peribadi atau politik yang dipegang artis atau penghibur yang berkunjung.

Menurutnya, pihak berkuasa perlu melaksanakan peraturan secara adil dan sekiranya terdapat halangan dari sudut undang-undang, perkara itu perlu dinyatakan dengan jelas.

Katanya, sebarang kebimbangan keselamatan yang munasabah juga perlu ditangani dengan pihak polis mengambil langkah sewajarnya bagi mengekalkan keamanan dan melindungi mereka yang hadir.

“Bantahan semata-mata tidak seharusnya menjadi penentu sama ada sesuatu perhimpunan keagamaan boleh diadakan atau tidak.

“Setiap orang berhak untuk tidak bersetuju dan menyatakan bantahan secara aman. Pada masa yang sama, mereka yang ingin menghadiri perhimpunan tersebut juga berhak mendapat layanan yang adil dan dihormati,” katanya.

Shafie berkata, umat Islam, Kristian, Buddha dan penganut agama lain telah berkongsi bumi Sabah selama beberapa generasi.

Menurutnya, menghormati kepercayaan antara satu sama lain termasuk memberikan kebebasan untuk berhimpun, berdoa, menyanyi dan menganjurkan program keagamaan selagi mematuhi undang-undang.

“Kita mesti mempertahankan tradisi tersebut. Keharmonian beragama kita bergantung kepada usaha memastikan setiap komuniti berasa dihormati dan selamat dalam mengamalkan kepercayaan masing-masing,” katanya.

Sehubungan itu, Shafie menyeru pihak berkuasa berkaitan supaya memudah cara penganjuran acara berkenaan selepas semua syarat dan keperluan dipenuhi.

Beliau turut menyeru semua pihak supaya mengamalkan sikap menahan diri dan saling menghormati.

“Kita mesti menjunjung undang-undang, melindungi amalan keagamaan secara aman dan memelihara keharmonian yang selama ini menjadi kekuatan Sabah,” katanya.