KONTROVERSI SKY BRIDGE, CPS AKAN SIAPKAN LALUAN TEMBUS JEJANTAS DALAM TEMPOH 6...

KONTROVERSI SKY BRIDGE, CPS AKAN SIAPKAN LALUAN TEMBUS JEJANTAS DALAM TEMPOH 6 BULAN

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Pusat beli-belah Centre Point Sabah (CPS) akan menyiapkan laluan tembus jejantas ‘Sky Bridge’ yang telah dibuka untuk kegunaan orang ramai hari ini dalam tempoh ENAM (6) bulan.

Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Noorliza Awang Alip, menjelaskan bahawa reka bentuk asal projek bernilai RM 31.5 juta yang dimulakan pada tahun 2017 itu sepatutnya bersambung dengan bangunan CPS.

“Walau bagaimanapun, dalam fasa pembinaan, pihak pengurusan CPS telah memohon dan bersetuju untuk membina laluan tangga dan sambungan ke bangunan atas CPS atas kos mereka sendiri dalam tempoh enam (6) bulan dari tarikh penyiapan Sky Bridge,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini (9 Sept).

Datuk Bandar (Mayor) Kota Kinabalu, Puan Noorliza Awang Alip

Kenyataan DBKK ini turut dipaparkan dengan skala dua pintu kaca pada tapak pembinaan laluan tembus tersebut.

Jejantas di tengah pusat bandar itu menghubungkan LIMA (5) laluan utama dari Oceanus Mall, Api-api Centre, Warisan Square, Asia City dan Centre Point Shopping Mall bagi tujuan keselamatan dan keselesaan pejalan kaki.

Namun selepas kerja pembinaan yang tertunggak setelah sekian lam telah diteruskan oleh kerajaan pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ketika ini, ramai pihak cuba menunding jari dan mendakwa kegagalan dalam perancangan struktur.

Malah keadaan tersebut juga digunakan sebagai ‘bahan politik’ seakan lebih berpuas hati jika jejantas yang sudah melihat pertukaran dua kerajaan sebelum ini tidak diusik dan dibiarkan terbengkalai.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor diberikan taklimat ringkas oleh Puan Noorliza di atas Sky Bridge pada 03 September lalu merasmikan ‘Projek Sky Bridge Kota Kinabalu’…

Difahamkan pengurusan CPS dalam proses penyusunan semula lot kedai dalam bangunan itu dan perkara ini sebaiknya dibuat setelah projek siap sepenuhnya bagi mengelak kesulitan.

Kelmarin ketika dihubungi Sabah News, wakil dari pihak pengurusan CPS yang enggan dinamakan menjelaskan niat syarikat untuk memanjangkan ruangan pejalan kaki masuk ke dalam bangunan mereka.

“Seperti yang kita tahu, projek ini merupakan penangguhan dari kerajaan yang sebelum ini. Jalan tembus masuk ke dalam bangunan CPS memang ada dalam perancangan awal…

“Namun projek itu ditinggalkan atas fahaman pihak pemaju (developer) telah lingkup (bankrap). Semasa kerja-kerja disiapkan oleh kerajaan kini, kami pula berhadapan sedikit kekangan.

“Pihak kami sedang berhubung dengan agensi-agensi kerajaan berkaitan untuk mencari jalan penyelesaian dan langkah seterusnya,” katanya.

Akses laluan pada jejantas ‘Sky Bridge’ sepatutnya menembusi masuk bangunan CPS seperi mana pada perancangan awal, tetapi menurut sumber pembinaannya dibatalkan ketika pembinaan dikendalikan Pemaju (Developer) yang terdahulu…

Difahamkan, di sebalik dinding tersebut terletak beberapa lot kedai yang akan terpaksa dikosongkan di samping mengambil kos pembinaan yang mereka harus biayai sendiri.

Sumber itu mengatakan ekoran pandemik COVID-19, kebanyakkan rancangan mereka telah tergendala.

“Kami berharap hal ini dapat diselesaikan secepat mungkin bagi kesenangan dan keselamatan pengunjung kami,” katanya.

Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM4.7 juta yang ditanggung oleh Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) melalui perjanjian Dana Mudahcara antara Kerajaan Malaysia, Bank Pembangunan Malaysia dan Sunsea Development Sdn Bhd.

Terdahulu, pihak CPS menafikan penamatan akses jejantas masuk ke dalam bangunan mereka adalah atas sebab “Feng Shui tidak bagus”.