KOTA KINABALU, SABAH – Koperasi Pekerja-Pekerja Kerajaan Sabah Berhad (KOPEKS) akan membangunkan projek perumahan kondo di Menggatal yang akan memanfaatkan kakitangan kerajaan khususnya ahli KOPEKS itu sendiri.
Pengerusi KOPEKS, Dr Saat Ag Damit berkata, projek perumahan KOPEKS DAMAI NewLife akan dibangunkan sebagai usaha sama dengan AA Damai Development Sdn Bhd di atas tanah seluas 10.11 ekar milik KOPEKS.
Beliau berkata KOPEKS akan menerima keuntungan bernilai RM30 juta hingga RM40 juta dalam bentuk tunai atau aset apabila projek itu siap lima tahun dari sekarang.
“Kami akan membina kondominium mampu milik untuk ahli, kakitangan dan penjawat awam yang menawarkan harga kurang daripada pasaran.
“Ia akan menandakan permulaan perniagaan baharu kami iaitu hartanah,” katanya pada Mesyuarat Agung Khas (EGM) KOPEKS di ITCC pada Ahad.
Katanya, perumahan itu dicadangkan setinggi 18 tingkat terdiri daripada dua blok dengan kemudahan parkir lima tingkat.
“Dengan keluasan daripada 878 kaki persegi dan sehingga 1,076 kaki persegi seunit, pembangunan itu mampu membina sejumlah 640 unit kondominium.
“KOPEKS akan menyediakan tanah dan pemaju akan menanggung semua kos pembinaan, kewangan, jualan dan berkaitan…keuntungan akan dibahagikan sama rata,” katanya.
Beliau berkata menerusi pembangunan itu, ahli KOPEKS akhirnya mampu memiliki rumah Kondominium dengan harga diskaun.
Turut hadir merasmikan EGM itu ialah Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Efendee O.P Andu.
Efendee dalam ucapan perasmiannya mahu ahli KOPEKS memberi sokongan padu terhadap hala tuju pembangunan pertubuhan itu dalam membentuk hala tuju KOPEKS mengikut perancangan 2024-2030.
“Segala keputusan yang dibuat sebulat suara adalah demi kepentingan semua ahli KOPEKS.
“Justeru, kita perlu berpandangan jauh dan semua ahli KOPEKS perlu memberi kerjasama sepenuhnya kepada pimpinan KOPEKS.
“KOPEKS juga perlu peka dengan kebajikan ahlinya,” katanya.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif KOPEKS, Buvil Angkui, Ketua Pegawai Eksekutif AA Damai Development Sdn Bhd, Datuk Awang Ahmad@Awang Ariffin dan Pengerusi Koperasi OSCA Sabah Berhad, Pg Putra Pg Omar.






