TOKYO, JEPUN – Jepun sedang memuktamadkan perancangan menggantung bantuan pembangunan baharu untuk Myanmar, ketika sekutu barat mengenakan sekatan dan mengancam mengambil tindakan lanjut susulan rampasan kuasa oleh tentera di negara Asia Tenggara itu, lapor akhbar Asahi Shimbun.
Akhbar itu yang memetik beberapa sumber kerajaan melaporkan, kerajaan Jepun tidak akan menggunakan istilah ‘sekatan’ dalam menggantung Bantuan Pembangunan Rasmi (ODA).
Memetik kenyataan BH Online, akhbar Asahi Shimbun turut melaporkan kerajaan Jepun akan cuba mempengaruhi junta tentera untuk mencapai penyelesaian demokratik menerusi rundingan.
Ditanya mengenai laporan akhbar itu, Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Katsunobu Kato, berkata laporan itu tidak benar, namun tidak menafikan kemungkinan berlakunya perubahan dasar kerajaan.
“Berhubung bantuan ekonomi untuk Myanmar, kami akan memantau secara berhati-hati situasi tanpa prejudis dan akan mempertimbangkan (beberapa pilihan),” katanya pada sidang media.

Sementara itu, Kyodo News yang turut memetik sumber kerajaan turut melaporkan, kerajaan Jepun sedang mempertimbang untuk menggantung bantuan baharu itu.
Jepun yang memiliki hubungan rapat dengan Myanmar dilihat mengambil pendekatan berhati-hati dalam menyatakan pendirian terhadap tentera Myanmar, kerana khuatir Myanmar akan semakin rapat dengan China ketika hubungan dengan Jepun menjadi lemah.





