KUALA LUMPUR – Dunia hiburan negara hari ini dikejutkan dengan pemergian pelawak legenda, Hamid Gurkha yang menghembuskan nafas terakhir di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang akibat penyakit tibi dan beberapa komplikasi lain di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, pada jam lebih kurang 2.19 petang tadi.
Berita pemergian Hamid, 90, atau nama sebenarnya Abdul Hamid Abdul Rahman disahkan sendiri oleh anak bongsunya, Nor Ashita Hamid.
Nor berkata, doktor mengesahkan arwah bapa mempunyai penyakit tibi dan beberapa komplikasi lain.
“Kami reda atas pemergian arwah…
“Allah lebih menyayangi arwah selepas enam hari dimasukkan ke hospital,” katanya yang dipetik BH.
Dilaporkan ketika ini, jenazah sedang diuruskan oleh pihak hospital dan proses pengkebumian masih belum dapat dijangkakan oleh pihak keluarga.
Terdahulu, Hamid pada Aidilfitri lalu dilaporkan hanya terlantar atas katil selepas diuji jangkitan COVID-19 pada Februari lalu.
Namun, bintang yang mula dikenali menerusi filem Panglima Badol pada 1978 tidak mengalami penyakit kronik, sebaliknya hanya masalah pendengaran disebabkan kian uzur pada usia menginjak 90 tahun.
Hamid dan Timah Abdul Hamid, 80, mendirikan rumah tangga enam dekad pada April 1957.
Menerusi perkahwinan itu, mereka dikurniakan lapan cahaya mata, namun dua daripadanya meninggal dunia. Beliau juga dikurniakan 32 cucu dan 18 cicit.





