KOPEKS Menang Tuntutan RM 6.5 Juta Berkaitan Pembatalan Perjanjian Jual Beli Tanah

KOPEKS Menang Tuntutan RM 6.5 Juta Berkaitan Pembatalan Perjanjian Jual Beli Tanah

0
SHARE
Kopeks
Pengerusi KOPEKS, Dr Saat Ag Damit

KOTA KINABALU, SABAH – Koperasi Pekerja-Pekerja Kerajaan Sabah (KOPEKS) telah berjaya memperoleh keputusan yang memihak kepadanya di Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak di Kota Kinabalu dalam kes tuntutan pemulangan wang berjumlah RM 6,495,288.26.

Tuntutan itu difailkan pada tahun 2021 susulan pembatalan Perjanjian Jual Beli Bersyarat (CSPA) antara KOPEKS dan pihak penjual, iaitu Roslan Yahya, Pauziah Abd Ghani, dan Zaiton Maidin.

Perjanjian ini melibatkan penjualan empat bidang tanah di Putatan dan perbicaraan kes tersebut tamat pada Jun 2024.

Pengerusi KOPEKS, Dr Saat Ag Damit berkata, sepanjang perbicaraan, pihak defendan telah mengemukakan beberapa permohonan yang ditolak oleh mahkamah.

“Ini termasuk tuntutan balas terhadap KOPEKS, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), dan Pengarah SKM Sabah, Datuk Kastian Dula.

“Tuntutan balas ini telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 8 Februari 2023, membenarkan perbicaraan diteruskan pada Jun 2024.

“Permohonan untuk meminda tuntutan balas telah ditolak pada 5 April 2024. Permohonan supaya kes diputuskan secara ringkas berdasarkan isu undang-undang turut ditolak pada 5 April 2024.

“Pada Rabu (semalam) Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Dr Lim Hock Leng, telah menyampaikan penghakiman yang memihak kepada KOPEKS,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Dr Saat mendedahkan, pihak mahkamah telah menganugerahkan KOPEKS dengan jumlah RM 6,495,288.26, bersama kadar faedah lima peratus dari tarikh penghakiman, serta kos sebanyak RM20,000.

KOPEKS diwakili oleh peguam Jeyan Marimuttu, Mohd Azhier Farhan bin Arisin, Abdul Fikry Jaafar, dan Vanessa J Marimuttu.

Pihak defendan pula diwakili oleh Datuk Lawrence Thien dan Valarie Lim.