PAPAR: Dalam usaha menghargai peranan penting media dalam penyebaran maklumat berkaitan dasar dan inisiatif kerajaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah menganjurkan Majlis Citra Tradisi #KPDNKITA bersama para pengamal media Sabah di sini, semalam.
Majlis yang berlangsung dengan penuh tradisi dan semangat muhibah itu bukan sahaja menjadi platform untuk meraikan sumbangan media, malah bertujuan memperkukuhkan hubungan strategik antara KPDN dan pengamal media demi memastikan penyampaian maklumat yang lebih efektif, telus dan mesra rakyat.
Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, majlis ini merupakan ruang bermakna untuk merakamkan penghargaan terhadap dedikasi dan komitmen pengamal media dalam melaporkan serta memaknakan pelbagai dasar kerajaan, khususnya yang melibatkan kementerian tersebut.
“Media memainkan peranan penting sebagai jambatan komunikasi antara kerajaan dan rakyat. KPDN amat menghargai usaha dan komitmen rakan-rakan media yang sentiasa menyokong penyampaian maklumat berkaitan isu-isu kos sara hidup, penguatkuasaan, dan perlindungan pengguna,” ujanrya ketika berucap pada Majlis itu di sini, semalam.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah YBhg. Dato’ Seri Mohd Sayuthi Bakar, Ketua Setiausaha KPDN, serta barisan pegawai kanan kementerian dan agensi berkaitan.
Majlis turut menyaksikan pertunjukan kebudayaan, persembahan seni tradisi tempatan dan sesi ramah mesra antara pihak kementerian dan pengamal media dalam suasana santai tetapi penuh penghargaan.
Tambah Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar, melalui inisiatif seperti ini, KPDN berharap agar hubungan erat bersama media dapat diteruskan, sekali gus memperkukuh usaha kerajaan dalam menyampaikan maklumat yang tepat, relevan dan berkesan kepada rakyat.






