KOTA KINABALU: Parti Amanah Negara (AMANAH) telah mengenal pasti sekurang-kurangnya empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang berpotensi untuk ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang dijangka berlangsung sekitar September atau Oktober tahun ini.
Perkara tersebut diumumkan oleh Pengarah Pilihan Raya Nasional AMANAH, Mohd Sany Hamzan dalam satu sidang media selepas Majlis Pelancaran Jentera Operasi Pilihan Raya AMANAH Sabah di sini, hari ini.
“Semalam saya dimaklumkan oleh kepimpinan negeri bahawa pembubaran DUN Sabah dijangka berlaku sekitar bulan Ogos. Maka, kita menjangkakan hari pengundian akan berlangsung sekitar September atau Oktober. Jadi kita ada lebih kurang tiga hingga empat bulan untuk membuat persiapan,” katanya kepada media.
Mohd Sany yang juga Ahli Parlimen Hulu Langat turut memaklumkan bahawa AMANAH Sabah di bawah pimpinan Pengerusinya, Lahirul Latigu telah mengenal pasti beberapa kerusi sasaran, antaranya DUN Tanjung Aru, Lumadan, Sulabayan dan Karambunai.
“Ini kerusi yang menjadi idaman kita, dan sebenarnya kita sudah pun mula melakukan kerja-kerja awal di kawasan-kawasan ini. Tetapi seperti yang kita maklum, keputusan akhir akan dibuat oleh kepimpinan tertinggi parti, termasuk di peringkat Pakatan Harapan (PH) dan gabungan parti,” katanya lagi.
Snay dalam pada itu turut mengingatkan bahawa proses pemilihan calon masih belum dimuktamadkan kerana ia memerlukan keputusan konsensus antara semua parti dalam gabungan.
Malah, beliau menegaskan bahawa status calon hanya disahkan apabila individu terbabit hadir ke pusat penamaan calon dan disahkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Beliau turut menyentuh kenyataan YAB Perdana Menteri sebelum ini yang mengesahkan bahawa PH dan BN akan bekerjasama secara rasmi dalam menghadapi PRN Sabah, menandakan pendekatan politik secara kolektif untuk membentuk kerajaan negeri yang stabil.
“Kita akur bahawa ini adalah keputusan yang perlu dibuat secara bersama, bukan hanya di peringkat parti tetapi juga di peringkat gabungan yang lebih besar,” tambah beliau.
Dengan pelancaran jentera operasi dan persiapan rapi yang sedang dijalankan, AMANAH dilihat serius untuk meningkatkan pengaruhnya di Sabah, terutamanya dalam landskap politik negeri yang kian mencabar dan kompetitif.






