TAWAU, SABAH – Kolej Vokasional (KV) Keningau berjaya meraih lapan pingat emas, tiga pingat perak, tiga pingat gangsa serta satu anugerah Tangan Emas dalam Pertandingan KV Skills Zon Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan 2026 di Tawau pada 7 sehingga 9 Julai seterusnya muncul sebagai juara keseluruhan buat kali keempat secara berturut turut.
Kejayaan paling bermakna adalah menerusi kategori pengurusan perniagaan apabila Nur Syaidattul Akma muncul sebagai johan dan turut dinobatkan sebagai penerima anugerah Tangan Emas, iaitu pengiktirafan khas kepada peserta yang mempamerkan tahap kemahiran dan prestasi terbaik.
KV Keningau turut mengungguli beberapa kategori utama apabila Nurul Syuhadah Mohd Wafi menjuarai kategori terapi kecantikan, Nurul Fitriyani Izwani Abdul Mutalip muncul johan kategori bakeri dan pastri, manakala Robinsons Gilbert menjuarai kategori masakan.
Kecemerlangan diteruskan menerusi kategori teknologi automotiff yang dimenangi oleh Raeny Cawagdan, pemasangan jubin lantai dan dinding oleh Joshua Alexod, lukisan dan dekorasi oleh Wester Westin, serta kategori pendidikan awal kanak-kanak yang dimenangi oleh Alencia Rachelistha Harry.

Selain kejayaan bergelar juara, KV Keningau turut mencatatkan keputusan memberangsangkan menerusi Deona Deney (terapi kecantikan), Aleysha Irdina Nazim (pendidikan awal kanak-kanak) dan Daphnie Limly Abdullah (penurapan bata) yang masing-masing meraih pingat perak. Pingat gangsa pula disumbangkan oleh Aidelbert Lim Hiew Yang (masakan), Mohamad Firdaus M Haris (pemasangan elektrik) dan Jennifer Joseph (pengurusan perniagaan).
Secara keseluruhannya, KV Keningau menamatkan pertandingan dengan kutipan lapan pingat emas, tiga pingat perak, tiga pingat gangsa serta satu anugerah Tangan Emas dan seterusnya merangkul gelaran juara keseluruhan.
Terdapat sembilan KV di zon Sabah/Labuan yang bersaing dalam pelbagai kategori dan pemenang bagi setiap kategori akan mewakili zon ini di peringkat kebangsaan.
Pengarah KV Keningau, Lumang anak Lang, berasa terharu dengan pencapaian ini kerana ianya menunjukkan bagaimana kemahiran vokasional merupakan kemahiran yang memerlukan disiplin, ketekunan dan latihan intensif untuk dikuasai.






