MAFI Perkasa Konsep Penanaman Padi Berskala Besar – Kiandee

MAFI Perkasa Konsep Penanaman Padi Berskala Besar – Kiandee

0
SHARE
Datuk Seri Dr Ronald Kiandee...

KOTA BELUD, SABAH – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan terus memperkasa konsep penanaman padi berskala besar bagi meningkatkan hasil pengeluaran padi sekali gus merealisasikan sasaran 75 hingga 80 peratus tahap sara diri (SSL) negara.

Menterinya Datuk Seri Dr Ronald Kiandee yang dipetik Bernama berkata SSL negara pada ketika ini ialah 70 peratus dan selebihnya iaitu 30 peratus lagi bergantung pada bekalan beras import.

Justeru, katanya konsep penanaman padi berskala besar perlu dilakukan secara baik dengan menerapkan pendekatan baharu yang boleh mengurangkan kos dan meningkatkan pengeluaran padi beras negara serta pendapatan pesawah.

“Kita prihatin dengan keadaan pesawah kerana sebahagian besar mereka masih B40. Tentu sekali pelbagai usaha sedang dan telah diambil oleh kerajaan, dan kita berharap konsep penanaman padi berskala besar dengan penglibatan pihak swasta akan dapat membantu meningkatkan industri padi beras negara…

“Ini termasuk meningkatkan SSL dan juga pendapatan pesawah di seluruh negara,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kota Belud yang turut dihadiri Pengarahnya Salmah Labulla di sini, hari ini.

Kiandee berkata program pembangunan IADA Kota Belud akan terus dirancakkan pada tahun ini termasuk meneruskan pembangunan kompleks pentadbiran agensi itu yang dianggarkan menelan belanja RM36 juta.

Beliau berkata bangunan itu akan memberi kemudahan kepada kakitangan IADA Kota Belud untuk merancang serta melaksanakan aktiviti-aktiviti pembangunan kepada pesawah, selain menjadi pusat latihan kepada pesawah bagi meningkatkan ilmu pengetahuan dalam pembangunan industri padi.

“Selain itu, kerja-kerja menambah baik dan membina baharu sistem saliran dan pengairan sawah IADA Kota Belud juga akan diteruskan pada tahun ini bagi membolehkan para pesawah di bawah kendalian agensi itu dapat menanam padi dua kali setahun,” katanya lagi.

Beliau berkata kerajaan juga telah memperuntukkan sebanyak RM360 juta bagi melaksanakan kerja-kerja menaik taraf sistem saliran dan pengairan serta kaedah pengurusan tanaman di IADA Kota Belud, dan setakat ini RM160 juta telah digunakan.

Pada lawatan itu, beliau turut menyampaikan sumbangan bantuan kewangan berjumlah RM264,055.32 kepada pesawah-pesawah IADA Kota Belud yang terjejas oleh bencana banjir pada Oktober tahun lalu.

Bantuan kewangan itu merupakan sebahagian daripada RM674,821 yang diluluskan sebagai bantuan kepada pesawah terjejas banjir pada tahun lepas.