KOTA KINABALU: Sebanyak 847 kotak ayam sejuk beku bernilai RM121,968 dirampas kerana disyaki terbabit dengan pelanggaran takrifan halal.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah dalam kenyataan berkata, rampasan dilakukan Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah dalam serbuan di sebuah stor di Jalan Burung Keleto, Inanam, sebelum kes diserahkan kepada pihaknya untuk siasatan lanjut.
“Semua daging ayam berkenaan mempunyai logo halal namun didapati disimpan di dalam sebuah kontena bersama bekalan daging khinzir.
“Seorang lelaki tempatan pemilik premis yang ditemui di tempat kejadian telah diambil keterangan bagi tujuan membantu siasatan. Sementara daging babi pula disita oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Menurut kenyataan itu lagi, kes ini akan disiasat mengikut Perintah 3 (1) (g) Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 iaitu menyimpan barang yang diperihalkan sebagai halal dengan barang yang tidak diperihalkan sebagai halal di satu tempat simpanan yang sama.
Mengikut Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011, pesalah membabitkan pertubuhan perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM5 juta dan tidak melebihi RM10 juta bagi kesalahan kedua.
Bagi orang perseorangan, boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM5 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.