TENOM: Seorang lelaki berusia 38 tahun maut selepas lori 10 tan bermuatan bibit sawit yang dipandunya terbabas sendiri di Pammos View, Kampung Pamilan Batu 15.5, Jalan Tenom–Keningau, petang Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.42 petang itu, mangsa dilaporkan tersepit di bahagian belakang kanan tayar lori dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom, PPgB Mudi Pengiran berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 sebelum sepasukan lima anggota digerakkan ke lokasi sejauh kira-kira 26 kilometer.
“Setibanya di lokasi, didapati sebuah lori 10 tan terbabas di tepi jalan dengan pemandunya tersepit. Berdasarkan maklumat saksi, mangsa dipercayai cuba terjun dari lori sebelum kenderaan itu terbabas dan menyebabkan mangsa tersepit,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pasukan bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa dengan bantuan jentera berat jenis excavator bagi memastikan proses dilakukan dengan selamat dan berkesan.
“Mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut,” katanya.
Operasi melibatkan kerjasama PDRM dan KKM itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.24 petang selepas keadaan disahkan selamat dan terkawal.






