TAWAU: Polis berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan berusia sekitar 61 tahun selepas dipercayai mengamuk sambil membawa senjata tajam dalam satu kejadian di kawasan kampung air Batu 4, Jalan Apas, Tawau, pagi tadi.
Menurut maklumat daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, sepasukan anggota Unit MPV Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPD Tawau telah menerima makluman daripada DCC Tawau mengenai insiden berkenaan semasa melakukan rondaan pencegahan jenayah di sekitar kawasan tersebut.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan polis bertindak pantas menahan suspek yang berada dalam keadaan agresif serta merampas sebilah pisau tajam yang dibawanya.
“Tindakan segera itu diambil bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini serta memastikan keselamatan penduduk sekitar kampung air tersebut,” jelas polis dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook hari ini.
Suspek bersama barang rampasan telah dibawa ke Balai Polis Tawau untuk siasatan lanjut.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 328/8A dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan berkaitan perbuatan mengancam keselamatan awam dan ugutan jenayah.
Pihak polis turut menggesa orang ramai agar segera melaporkan sebarang kejadian mencurigakan atau membahayakan kepada pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan komuniti sentiasa terpelihara.