Op Pluto Timur: Maritim Malaysia Rampas 360 Kilogram Minyak Masak Seludup

Op Pluto Timur: Maritim Malaysia Rampas 360 Kilogram Minyak Masak Seludup

0
SHARE

SEMPORNA, SABAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Semporna berjaya menggagalkan cubaan sebuah bot pam menyeludup keluar minyak masak paket bersubsidi di perairan Semporna sekitar jam 10.30 malam tadi.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Amir bin Shubli berkata, bot peronda Maritim Malaysia mengesan sebuah bot pam berwarna biru dan hijau tanpa nombor pendaftaran bergerak dalam keadaan mencurigakan di lokasi sekitar 0.2 Batu Nautika Barat Pulau Sebangkat, Semporna.

“Semasa dihampiri, tekong bot telah bertindak terjun ke laut dan berenang melarikan diri ke daratan berhampiran…

“Pemeriksaan ke atas bot menemui lebih kurang 340 kilogram minyak masak paket bersubsidi dipercayai cuba diseludup ke negara jiran.

“Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dan 3 buah enjin pam bernilai sekitar RM6000,” katanya.

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana cubaan 1 menyeludup keluar minyak masak tanpa cukai. Siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengesan pemilik bot serta dalang di sebalik kegiatan ini.

Terdahulu pada bulan Oktober lalu Zon Maritim Semporna juga telah berjaya menggalkan beberapa siri jenayah di lautan termasuk satu kes bom ikan, dua kes penyeludupan minyak masak serta satu kes penyeludupan minyak petrol yang bernilai lebih kurang RM 28000 nilai keseluruhannya.

“Zon Maritim Semporna akan terus memperkasakan rondaan dan penguatkuasaan di sekitar kawasan ‘hot spot’ terutamanya sekitar sempadan perairan negara bagi membanteras aktiviti penyeludupan dan kemasukan PATI ke negeri Sabah melalui jalan laut.

“Maritim Malaysia menyeru kepada mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan atau lain-lain kegiatan jenayah maritim untuk menyalurkannya ke Pusat Operasi Zon Maritim Semporna di talian 089-782619 atau MERS 999.