SEMPORNA, SABAH – Seorang lelaki bertindak nekad terjun ke laut dan melarikan diri selepas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menghidu percubaannya meyeludup minyak masak ke negara jiran.
Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata pihak mereka menerima maklumat penyeludupan berlaku di sekitar perairan Pulau Bum Bum.
“Sekitar jam 4.00 pagi tadi bot ronda APMM telah mengesan sebuah bot pam tanpa nombor pendaftaran dikendali dalam keadaan yang mencurigakan di sekitar perairan tersebut…
“Suspek melarikan diri ke arah yang tidak diketahui dan keadaan cuaca dan persekitaran yang gelap menyukarkan anggota mengesan kedudukan suspek,” katanya.
Pemeriksaan ke atas bot pam yang ditinggalkan suspek mendapati sebanyak 102 paket plastik berisi muatan minyak masak.
“Bot beserta sebuah enjin dan kesemua minyak masak tersebut dirampas seterusnya dibawa ke Zon Maritim Semporna manakala kami akan terus mengesan dan memburu suspek yang menghilangkan diri serta siasatan lanjut akan dilakukan,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Nilai keseluruhan rampasan minyak masak termasuk bot beserta enjin dianggarkan berjumlah RM2,255.