Lesen Perniagaan Penting Bantu Peniaga Dapatkan Insentif Dan Bantuan Perniagaan

Lesen Perniagaan Penting Bantu Peniaga Dapatkan Insentif Dan Bantuan Perniagaan

0
SHARE

BINTULU, SARAWAK – Mesyuarat Jom Regista Bisnes (REGISTA)@Bintulu memaklumkan bahawa seramai 220 orang peniaga dan pengusaha telah mendaftar dalam program Jom Regista Bisnes (REGISTA)@Bintulu setakat ini.

Kementerian Perdagangan Pembangunan Ekonomi Antarabangsa Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan juga Pejabat Daerah Bintulu menganjurkan program berkenaan bagi memberi kesedaran dan pengetahuan mengenai kepentingan lesen perniagaan.

Selain itu, program itu turut memberi peluang untuk peniaga mendapatkan insentif dan bantuan perniagaan terutamanya yang disediakan oleh kerajaan.

Program tersebut juga membimbing dan membantu pengusaha dan peniaga mendaftarkan lesen perniagaan mereka sama ada menggunakan premis sendiri, sekiranya ada atau menggunakan premis sedia ada seperti Pusat Inkubator dan Bimbingan Usahawan (PIBU), Anjung Usahawan, SMA Hub dan lain-lain premis yang bersesuaian.

Program ini akan berlangsung selama dua hari iaitu pada 25 dan 26 Februari 2022, dan akan dirasmikan Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri MINTRED, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pada 26 Februari 2022.

Mesyuarat ini dihadiri Pegawai Daerah Bintulu, Muhammad Dino Amid, Pejabat Residen (Bahagian Sosial), Lembaga Kemajuan Bintulu, Malaysia Airlines Bintulu, Jabatan Kerja Raya Bintulu, Pejabat Kesihatan Bintulu, Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Bintulu dan Dewan Suarah Bintulu.