LETUSAN ‘GUNUNG BERAPI’ LUMPUR DI LAHAD DATU SATU FENOMENA BIASA

LETUSAN ‘GUNUNG BERAPI’ LUMPUR DI LAHAD DATU SATU FENOMENA BIASA

0
SHARE

LAHAD DATU, SABAH – Video letusan “gunung berapi” lumpur dikatakan berlaku di Taman Hidupan Liar Tabin yang tular di media sosial semalam bukanlah sesuatu fenomena yang asing.

Malah, Lipad Mud Volcano antara pelbagai tarikan Tabin Wildlife Resort di sini.

Ianya salah satu daripada beberapa gunung berapi lumpur yang terdapat di Taman Hidupan Liar Tabin terletak berhampiran pusat peranginan tersebut.

Gunung berapi lumpur yang kaya dengan mineral menjadi tempat beberapa spesis haiwan termasuk burung mendapatkan kandungan garam tang secukupnya.

Bagi manusia pula, kandungan mineral tinggi dalam lumpur juga digunakan sebagai pengawet kulit yang asli.

Beberapa proses geologi menyebabkan pembentukan gunung berapi lumpur.

Gunung berapi lumpur bukanlah gunung berapi sebenar kerana ia tidak menghasilkan lava dan tidak semestinya didorong oleh aktiviti magmatik.

Lumpur yang dihasilkan oleh gunung berapi lumpur berpunca apabila air panas jauh di bawah permukaan Bumi mula bercampur dengan mendapan mineral bawah tanah sekali gus mewujudkan buburan lumpur.

Fenomena itu juga dapat disaksikan di Kalabakan, Kuala Penyu dan Pulau Tiga dan juga pada tempat-tempat lain dalam negeri yang kaya dengan keindahan alam semula jadi ini.