KOTA KINABALU – Pembentangan Bajet 2018 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada hari ini dilihat sebagai khabar gembira khusus untuk warga Sabah, Sarawak dan juga Labuan.
Pelbagai inisiatif dan usaha kerajaan dalam membantu rakyat melalui pembentangan #Bajet2018 kali ini dengan meneliti secara terperinci setiap aspek ekonomi, sosial, pembangunan dan rintihan rakyat.
Berdasarkan petikan teks ucapan Perdana Menteri, antara intipati yang membawa berita baik kepada warga Sabah, Sarawak dan Labuan adalah;
1. Merancakkan pembangunan di Labuan, Kerajaan akan membuat ‘feasibility study’ bagi membina JAMBATAN menghubungkan Labuan dengan tanah besar di Sabah.
2. Membina baharu lapangan terbang Mukah dan pembesaran Lapangan terbang Kota Bharu dan Sandakan.
3. Melalui kaedah Industrial Building System (IBS), Kerajaan dengan penuh rasa tanggungjawab memperuntukkan sejumlah 2.5 bilion ringgit bagi tempoh dua tahun, dengan pecahan 500 juta ringgit buat sekolah-sekolah daif di Semenanjung Malaysia, 1 bilion ringgit di Sabah dan 1 bilion ringgit di Sarawak.
4. Telah mengotakan janji kemudahan prasana di Sabah dan Sarawak melalui pembinaan LEBUHRAYA PAN-BORNEO.
5. Menyediakan RM6.5 bilion untuk infrastruktur asas terutama di luar bandar,antaranya:
- 2 bilion ringgit untuk projek Lebuhraya Pan-Borneo. Bagi negeri Sarawak, kesemua 11 pakej pembinaan telah diagihkan, manakala lima daripada 35 pakej Fasa Pertama di Sabah sudahpun dianugerahkan, dan 12 lagi dalam proses tender;
- 1.1 bilion ringgit untuk projek mesra rakyat seperti menaik taraf jambatan, lampu jalan kampung, surau serta pasar;
- Satu bilion ringgit diperuntukkan melalui SKMM, bagi membangunkan infrastruktur komunikasi serta kemudahan jalur lebar di Sabah dan Sarawak;
- 934 juta ringgit untuk projek jalan luar bandar, termasuk hampir 500 juta ringgit untuk Sabah dan Sarawak;
- 672 juta ringgit untuk bekalan elektrik, termasuk 620 juta ringgit untuk Sabah dan Sarawak melibatkan 10 ribu rumah luar bandar.
6. 50 juta ringgit diperuntukkan untuk pemetaan dan pengukuran tanah-tanah adat, iaitu 30 juta ringgit untuk Sarawak dan 20 juta ringgit untuk Sabah.
7. Program Penyeragaman Harga Barang Keperluan Asas di Sabah dan Sarawak diteruskan dengan peruntukan 80 juta ringgit.
8. 600 unit rumah di bawah program My Beautiful New Homes atau MyBNHomes untuk isi rumah B40 antaranya di Terengganu, Pahang, Melaka, Johor, Sabah, Sarawak dan kawasan orang asli.