KOTA KINABALU: Majlis Belia KDCA (KDCA Youth Council) menyambut baik usaha kerajaan Malaysia dalam membantu membangunkan semula Gaza yang terjejas akibat konflik.
Walau bagaimanapun, keutamaan harus diberikan kepada keperluan mendesak rakyat Malaysia terlebih dahulu, khususnya di Sabah dan Sarawak yang masih jauh ketinggalan dalam pembangunan asas.
Pengerusi Majlis Belia KDCA, Steve Johnny Mositun, menegaskan bahawa perhatian harus diberikan kepada isu-isu domestik yang masih membelenggu rakyat, termasuk keadaan jalan raya yang daif, sekolah dan hospital kerajaan di luar bandar yang kurang kemudahan, serta tempat-tempat ibadat yang memerlukan perhatian.
“Usaha membantu negara lain adalah sesuatu yang terpuji, tetapi kita juga harus melihat realiti di tanah air sendiri.
“Sabah masih merupakan antara wilayah termiskin dalam Malaysia.
“Oleh itu, sepatutnya kita dahulukan pembangunan di negeri ini agar setanding dengan Semenanjung sebelum kita mengalihkan fokus ke luar negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa Malaysia akan membina sebuah sekolah, hospital, dan masjid sebagai langkah awal membantu pembinaan semula Gaza, melalui kolaborasi antara rakyat Malaysia dan sektor swasta.
Sehubungan itu, Steve Johnny Mositun turut bersetuju dengan pandangan seorang mantan Menteri Persekutuan yang mencadangkan agar kerajaan menubuhkan Dana Kemanusiaan Khas sekiranya konflik di Gaza diselesaikan dengan jelas dan semua pihak menerima syarat yang dipersetujui.
Langkah ini akan memastikan bantuan antarabangsa dapat dilakukan secara terancang tanpa mengabaikan keperluan rakyat Malaysia.
Majlis Belia KDCA berharap kerajaan akan menilai semula keutamaan dalam aspek pembangunan dan kebajikan rakyat, khususnya bagi negeri-negeri yang masih berhadapan dengan cabaran ekonomi dan infrastruktur.






