Malaysia Harus Beri Fokus Lebih Kepada Sabah Dan Sarawak – Jaziri Alkaf

Malaysia Harus Beri Fokus Lebih Kepada Sabah Dan Sarawak – Jaziri Alkaf

0
SHARE

KUCHING, SARAWAK – Malaysia harus memberi fokus dan tumpuan lebih untuk Sabah dan Sarawak dengan pemindahan Ibu Kota Indonesia ke Kalimantan Timur.

Pengerusi Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sarawak, Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian berkata pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dengan sokongan sebulat suara kesemua ahli Dewan Negara pada hari ini adalah tepat pada masanya.

“Borneo jelas akan menjadi satu titik fokal baru di ASEAN dan jangkaan jumlah keluaran kasar dalam negara (GDP) ASEAN adalah sebanyak AS $1.3 trilion (RM 5.46 trilion) pada 2050 selepas China, Amerika Syarikat dan India…

“Maka dengan itu saya mencadangkan harus ada pelan pembangunan strategik Sabah dan Sarawak di peringkat pusat untuk kelestarian pembangunan kerana nikmat ini juga akan dinikmati oleh semua negeri di Malaysia secara keseluruhan,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Beliau berharap Kementerian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak dapat membentangkan perancangan jangka pendek dan sederhana untuk melihat perubahan yang akan memberi impak positif kepada rakyat Sabah dan Sarawak.

Dalam pada itu, beliau berkata dengan pindaan RUU tersebut, Malaysia akan lebih maju dan memiliki semangat perpaduan serta kesepakatan tinggi bukan untuk kepentingan Sabah dan Sarawak sahaja.

“Status Sabah dan Sarawak dikembalikan ke status awal dan dengan penubuhan Malaysia bermaksud kita harus raikan Hari Malaysia dengan lebih bermakna…

“Saya mencadangkan agar kerajaan mengisytiharkan Hari Malaysia sebagai hari keraian secara besar besaran bagi membolehkan semua rakyat Malaysia menghayati erti Malaysia yang sebenar.
 
“Selain itu saya juga berpandangan bahawa pengiktirafan status Sabah dan Sarawak sepatutnya bukan hanya pada penulisan dalam Perlembagaan tetapi harus diimplikasikan secara fizikal yakni tumpuan pembangunan lebih adil kepada Sabah dan Sarawak,” katanya.