Malaysia Perlu Tegas, Isytihar Israel Negara Apartheid Secara Rasmi

Malaysia Perlu Tegas, Isytihar Israel Negara Apartheid Secara Rasmi

0
SHARE

JOHOR BAHRU – Malaysia perlu mengambil tindakan tegas, jelas dan radikal terhadap jenayah perang dan penjajahan Israel terhadap rakyat Palestin dengan mengisytiharkan Israel sebagai sebuah negara apartheid secara rasmi.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata langkah itu akan memberi tamparan dan tekanan kepada Israel serta mengubah kedudukannya dalam forum dunia, sekali gus memberi kesan lebih serius termasuk putus hubungan diplomatik serta larangan menyertai pelbagai acara dunia seperti Sukan Olimpik.

Memetik laporan Bernama, beliau berkata hal ini kerana kecaman dan kutukan dunia semata-mata adalah sangat tidak memadai dan tidak boleh bersifat bermusim berdasarkan kebiadaban Israel dalam operasi pembantaian serta keganasan yang berterusan oleh rejim Zionis.

“Sebelum ini negara kita sudah mengisytiharkan secara tegas dan terang kepada dunia bahawa kita tidak mengiktiraf negara haram Israel di dalam pasport kita. Kini, kita mesti mengambil langkah yang lebih tegas dan radikal dengan mengisytiharkan bahawa Israel adalah negara apartheid secara rasmi…

“Dunia mesti melihat operasi pembantaian komuniti Arab, pembunuhan beramai-ramai, perampasan harta dan kediaman serta pembersihan etnik berskala besar oleh Zionis sebagai apartheid sistematik serta jenayah perang dan bukannya bersifat ‘mempertahankan’,” katanya menerusi kenyataan di sini, malam tadi.

Mohamed Khaled seterusnya mengucapkan tahniah kepada seluruh masyarakat di negara ini kerana cakna terhadap isu itu, yang menurutnya turut menyumbang kepada peningkatan kesedaran, pemahaman dan bantuan kepada rakyat Palestin.

Dilaporkan pencerobohan dan serangan rejim Zionis Israel ke atas rakyat Palestin kali ini bermula dengan serangan di Masjid al-Aqsa sejak 7 Mei lepas diikuti serangan udara di Semenanjung Gaza sejak Isnin lepas, dan sehingga kini dilaporkan lebih 100 rakyat Palestin terkorban manakala beratus-ratus lagi cedera.