Malaysia, Kanada Kukuhkan Hubungan Kerjasama Dua Hala Dalam Sektor Ekonomi

Malaysia, Kanada Kukuhkan Hubungan Kerjasama Dua Hala Dalam Sektor Ekonomi

0
SHARE
Ewon
Sesi mesyuarat yang diketuai Ewon bersama Kanada ( Sumber Foto: Ihsan KUSKOP )

PARIS – Malaysia dan Kanada mengadakan mesyuarat dua hala pada Rabu untuk meneroka dan mengukuhkan hubungan kerjasama dalam pelbagai sektor ekonomi.

Mesyuarat itu diketuai oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick dan Arif Virani, Setiausaha Parlimen kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa, Penggalakan Eksport, Perniagaan Kecil dan Pembangunan Ekonomi.

Antara perkara yang dibincangkan ialah minat Kanada untuk menjadi sebahagian daripada negara rakan ASEAN, sokongan Malaysia terhadap Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Kanada dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Turut dibincangkan potensi kerjasama dalam perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), sektor pembangunan, francais, koperasi dan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

“Kanada merakamkan penghargaan kepada Malaysia atas sokongan kepada negara itu untuk menjadi sebahagian daripada negara rakan ASEAN dan ingin mengukuhkan lagi hubungan dua hala dengan Malaysia,” kata Ewon dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata negara itu memaklumkan bahawa mereka akan menubuhkan Pejabat Misi Perdagangannya di Filipina bagi mengukuhkan kerjasama dengan negara Asia Tenggara termasuk Malaysia.

Ewon berkata, Malaysia juga berhasrat untuk bekerjasama rapat dengan Kanada dalam bidang keusahawanan, terutamanya dalam akses pasaran seperti halal, elektrik dan elektronik, peranti, mesin dan peralatan perubatan serta bioteknologi.

Kami juga mencadangkan untuk bekerjasama dalam penerimaan dan pematuhan ESG dalam kalangan PKS, program eksport perniagaan dan pemadanan perniagaan, program pembangunan francais serta pembangunan koperasi.

“Kanada turut menyatakan hasrat mereka bekerjasama dengan Malaysia dalam pembangunan MSME,” katanya.

Kedua-dua pihak menyatakan komitmen untuk meneruskan dialog dan akan membuat susulan mengenai bidang kerjasama yang dibincangkan semasa mesyuarat itu.