Maritim Malaysia Tahan Bot Kargo Muat Barang Kawalan Tanpa Permit

Maritim Malaysia Tahan Bot Kargo Muat Barang Kawalan Tanpa Permit

0
SHARE

LAHAD DATU, SABAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Lahad Datu berjaya menahan 4 buah bot yang membawa muatan pelbagai barang kawalan tanpa permit pada Isnin lalu kira-kira jam 12.05 tengah malam.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Nik Mohd Rizam Nik Mohd Fauzi berkata, pihak mereka telah menerima beberapa aduan daripada orang awam mengenai kegiatan haram penyeludupan barang kawalan di sekitar perairan Felda Sahabat ke negara jiran.

Bertindak ke atas maklumat tersebut, 2 buah bot peronda Maritim Malaysia yang menjalankan Ops Pluto Timur di kawasan tersebut telah berjaya mengesan 4 buah bot dalam keadaan mencurigakan bergerak dari Perairan Felda Sahabat menuju ke negara jiran.

“Menyedari kegiatan mereka dikesan, berlaku adegan kejar mengejar sebelum bot-bot suspek merapat ke daratan terdekat dan 2 lelaki berjaya ditahan manakala sebahagian suspek berjaya meloloskan diri di kawasan bakau berhampiran.

“Pemeriksaan awal ke atas bot-bot yang ditahan di lokasi tersebut mendapati dua lelaki, masing-masing warganegara asing berusia 30 tahun bertindak selaku juragan bersama seorang lelaki warga Filipina berumur 35 tahun sebagai pembantu juragan membawa muatan pelbagai barangan runcit di dalam bot tersebut.

“Pemeriksaan menyeluruh ke atas 4 buah bot tersebut telah menemukan pelbagai barang kawalan berjadual iaitu 3,791 (kg) peket minyak masak bersubsidi pelbagai jenama berserta 16 tong gas LPG bersubsidi dipercayai cuba diseludup ke negara jiran.

“Pemeriksaan ke atas dokumentasi seterusnya mendapati juragan yang berjaya ditahan tersebut gagal mengemukakan permit serta lesen yang sah berkaitan barang kawalan dan LPG tong gas yang dibawa,” jelasnya.

Bot, muatan serta kedua-dua kru bot tersebut ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Lahad Datu untuk disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 Dan Akta Kastam 1967.

Kesemua barangan termasuk bot kargo, enjin bot dan muatan barangan, disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM 174,611.20.

“Statistik tangkapan Zon Maritim Lahad Datu terkini merekodkan 43 kes pelbagai kesalahan.

“Daripada jumlah tersebut 10 kes direkodkan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kastam 1967 sejak awal Januari 2022.

“Maritim Malaysia akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia khususnya di perairan Timur Sabah (ESSZONE),” katanya.