Masa Depan BIMP-EAGA Bergantung Kepada Intgerasi Industri, Rantaian Perdagangan – Ewon

Masa Depan BIMP-EAGA Bergantung Kepada Intgerasi Industri, Rantaian Perdagangan – Ewon

0
SHARE

BANDAR SERI BEGAWAN: Daya saing BIMP-EAGA pada masa hadapan bergantung kepada keupayaan negara anggota mengintegrasikan sektor perindustrian serta memperkukuh rangkaian pengeluaran dan perdagangan serantau.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, integrasi ekonomi rantau itu perlu disokong oleh persekitaran pelaburan kondusif dengan memanfaatkan kelebihan ekonomi dan rantaian bekalan masing-masing.

“Kita percaya daya saing BIMP-EAGA pada masa hadapan akan semakin bergantung kepada keupayaan kita menghubungkan industri, saling melengkapi kekuatan masing-masing serta mewujudkan rangkaian pengeluaran dan perdagangan yang lebih bersepadu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengetuai delegasi Malaysia ke Forum Ketua-Ketua Menteri, Gabenor dan Kerajaan Tempatan (CMFLF) BIMP-EAGA Ke-8 di Brunei Darussalam.

Ewon yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berkata, Sabah sedang meneroka penubuhan Zon Ekonomi Khas (SEZ) di Lahad Datu berteraskan POIC Lahad Datu bagi menarik pelaburan berorientasikan eksport, mempercepat pembangunan industri hiliran serta memperkukuh logistik dan perdagangan serantau.

Sabah juga sedang memajukan pembangunan tiga taman perindustrian baharu, iaitu Taman Perindustrian Ekonomi Biru Kudat, Taman Perindustrian Kota Belud dan Taman Perindustrian Beaufort.

“Inisiatif ini mencerminkan komitmen Sabah untuk melangkaui kegiatan ekonomi tradisional ke arah pembangunan perindustrian bernilai tinggi, di samping memupuk kerjasama serantau yang menjana manfaat ekonomi bersama,” katanya.