KOTA KINABALU: Transformasi digital Sabah mesti menyokong matlamat agenda pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam memperkukuh ekonomi, membangunkan modal insan serta meningkatkan infrastruktur dan kesejahteraan rakyat.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kemajuan teknologi perlu diterjemahkan kepada peluang ekonomi yang lebih luas, penyampaian perkhidmatan awam yang lebih baik serta peningkatan taraf hidup rakyat.
“Pendigitalan tidak seharusnya dilaksanakan secara berasingan daripada pembangunan. Sebaliknya, ia perlu membantu kita melaksanakan pembangunan dengan lebih berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan perasmian Sidang Kemuncak Digital Sabah 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini, yang disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun.
Hajiji berkata, kedudukan strategik Sabah berhampiran pasaran negara jiran dalam BIMP-EAGA membuka peluang kepada negeri ini untuk memperkukuh peranannya sebagai jambatan perdagangan serantau, perkhidmatan dan pertukaran pengetahuan.
Bagaimanapun, katanya, potensi itu perlu disokong dengan infrastruktur yang boleh dipercayai, institusi berkeupayaan, tenaga kerja berkemahiran serta persekitaran yang menggalakkan pelaburan bertanggungjawab.
Beliau turut menekankan bahawa penerapan kecerdasan buatan (AI) perlu dilaksanakan secara berhemah, dengan matlamat yang jelas dan berorientasikan penyelesaian masalah sebenar.
“Nilai AI bukan sekadar terletak pada penggunaan teknologi baharu, tetapi keupayaannya menyelesaikan masalah sebenar, sama ada melalui penyampaian perkhidmatan yang lebih baik, peningkatan produktiviti, perancangan yang lebih berasaskan maklumat atau kesiapsiagaan menghadapi bencana yang lebih kukuh,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji menegaskan bahawa manfaat transformasi digital mesti dinikmati seluruh lapisan masyarakat, termasuk penduduk luar bandar dan pedalaman.
“Kemajuan digital yang hanya memberi manfaat kepada mereka yang sudah mempunyai akses kesalinghubungan yang baik akan memburukkan lagi ketidaksamaan sedia ada. Kita tidak boleh menerima keadaan sedemikian,” katanya.
Menurutnya, keterangkuman digital bukan sekadar melibatkan liputan rangkaian, tetapi turut memerlukan bekalan elektrik stabil, perkhidmatan mampu milik, peranti bersesuaian dan kemahiran praktikal.
Hajiji turut menekankan kepentingan memperkukuh kerjasama antara institusi pendidikan, penyedia latihan dan pihak industri bagi melahirkan golongan muda sebagai pencipta, tenaga profesional dan usahawan, bukan sekadar pengguna teknologi.
Dalam aspek pelaburan pula, beliau berkata, Kerajaan Negeri akan terus menambah baik usaha memudah cara pelaburan, memperkukuh penglibatan industri serta menangani halangan pelaksanaan.
“Kita mahukan kerjasama strategik yang dapat membangunkan bakat anak Sabah, memperkukuh perusahaan tempatan, memindahkan pengetahuan serta membina keupayaan yang dapat dikekalkan di negeri ini untuk jangka panjang,” katanya.






