13 Remaja Lelaki Bergari Ke Mahkamah, Didakwa Bunuh Pelajar Kolej Vokasional

13 Remaja Lelaki Bergari Ke Mahkamah, Didakwa Bunuh Pelajar Kolej Vokasional

0
SHARE
13 remaja dihadapkan ke Mahkamah Majistret Lahad Datu hari ini

LAHAD DATU: Seramai 13 remaja lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Lahad Datu pagi tadi atas dakwaan membunuh seorang pelajar di sebuah Kolej Vokasional di sini, bulan lalu.

Berusia antara 16 hingga 19 tahun, kesemua remaja itu dituduh bersama-sama membunuh mangsa, Mohammad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan yang berusia 17 tahun. 

Kes didakwa berlaku di Bilik Asrama 7 Resak dan 5 Belian, Kolej Vokasional Lahad Datu sekitar jam 9 malam hingga 7.38 pagi pada 21 Mac dan 22 Mac lalu.

Prosiding tersebut dijalankan secara tertutup di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani pada jam 9 pagi tadi.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh memandangkan kes bunuh itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi dan ketika prosiding dijalankan, hanya ahli keluarga tertuduh sahaja dibenarkan masuk ke bilik bicara kerana kes ini merupakan kes juvana.

Mahkamah kemudian menetapkan 16 Mei ini sebagai sebutan semula kes sementara menunggu penyerahan laporan kimia serta bedah siasat.

Pada 22 Mac lalu, media melaporkan seorang pelajar lelaki ditemukan maut dipercayai dibelasah rakan-rakan dalam kejadian di sebuah Asrama Kolej Vokasional di sini.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner (ACP) Rohan Shah Ahmad berkata siasatan awal mendapati punca kejadian bermula daripada perselisihan faham antara mangsa dengan penghuni asrama lain.

Mangsa dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri di atas lantai asrama kira-kira 6.50 pagi dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Hospital Lahad Datu yang turut hadir memberikan rawatan kecemasan.