UMS Sambut Baik Biasiswa Khas Pelajar Perubatan Anak Sabah

UMS Sambut Baik Biasiswa Khas Pelajar Perubatan Anak Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyambut baik inisiatif Kerajaan Negeri Sabah menyediakan biasiswa khas kepada anak Sabah yang mengikuti pengajian perubatan di universiti berkenaan.

Naib Canselor UMS, Prof. Ir. Dr. Rosalam Sarbatly berkata, inisiatif itu mampu meringankan beban kewangan pelajar, sekali gus menyokong usaha melahirkan lebih ramai doktor bagi memenuhi keperluan negeri.

“Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah meluluskan pengambilan sehingga 150 pelajar perubatan setahun.

“Sebagai langkah awal, UMS telah meningkatkan pengambilan daripada 90 kepada 100 pelajar setahun,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurut Rosalam, pengambilan pelajar akan ditingkatkan secara berfasa mengikut kapasiti latihan klinikal, termasuk menerusi peluasan perkhidmatan Hospital UMS sebagai hospital pengajar.

UMS turut menawarkan latihan kepakaran dalam Perubatan Kesihatan Awam, Perubatan Kecemasan dan Anestesiologi, manakala tiga lagi program kepakaran kini di peringkat akhir pembangunan.

“Hasrat saya ialah supaya lebih ramai anak Sabah berpeluang belajar perubatan dan meneruskan latihan kepakaran di negeri sendiri, seterusnya berkhidmat kepada rakyat Sabah,” katanya.

Semalam, Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun menyatakan bahawa pihak kerajaan negeri akan mempertimbangkan pemberian biasiswa kepada setiap anak Sabah yang layak mengikuti pengajian perubatan di UMS sebagai langkah jangka panjang menangani masalah kekurangan doktor di negeri ini.

Tegasnya, usaha melahirkan lebih ramai doktor dalam kalangan anak tempatan merupakan pendirian yang diambil Kabinet Negeri susulan cabaran mendapatkan doktor dari Semenanjung untuk berkhidmat di Sabah.