KOTA KINABALU, SABAH – Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menafikan sebarang kejadian tanah runtuh atau risikonya berlaku berhubung kerja-kerja pembinaan berdekatan Menara Jam Atkinson pada Ahad.
Ketua Pengarah DBKK Junainah Abbie berkata demikian setelah pihaknya mendapati khabar angin itu tular melalui media sosial WhatsApp.
Katanya, projek pengindahan tersebut telah dimulakan sejak tahun 2021 dan Pelan Pembangunan telah diluluskan pada tahun 2022.
“Kerja-kerja di kawasan sekitar Menara Jam Atkinson adalah kerja-kerja pengindahan lanskap, pembinaan tandas awam, pondok informasi pelancong dan tidak melibatkan kawasan berpagar struktur Menara Jam Atkinson.
“Tidak ada sebarang kejadian tanah runtuh dilaporkan menuju ke Bandaraya Kota Kinabalu yang didakwa berpunca dari tapak ini seperti yang ditularkan tersebut.
“Segala aktiviti di tapak berkenaan adalah terkawal dan dipantau oleh juruperunding yang dilantik,” katanya.
Beliau menasihatkan orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menyebabkan keadaan panik kepada masyarakat.
“Sebarang aduan dan pertanyaan boleh menghubungi Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK di talian 012-2220220 (WhatsApp),” katanya.