BANDAR SERI BEGAWAN, BRUNEI – Seorang lelaki Malaysia dihukum penjara dua (2) tahun empat (4) bulan atas tuduhan mencuri dan masuk secara haram ke Brunei melalui ‘jalan tikus’ ketika negara itumerekodkan kes COVID-19 pertama yang lalu.
Pemangku Majistret Kanan, Pengiran Hazirah Pengiran Haji Mohd Yusof, pada prosiding kes Khamis lalu, berkata Edwin Yan Kok Kim @ Md Yazid Abdullah, 44, sudah pernah dilarang memasuki Brunei.
“Bagaimanapun, dia menyelinap masuk ke negara ini melalui belukar (laluan tikus). Sebagai rekod, dia dihantar pulang dan dilarang memasuki Brunei pada 19 Februari 2005.
“Dia juga didapati mencuri telefon bimbit milik penjual makanan di Rimba Point pada 30 Jun lalu, jam 3.30 petang dan mangsa membuat laporan polis dengan mengemukakan bukti rakaman CCTV.
“Selepas itu, dia ditahan di sebuah pasar raya di pusat beli-belah Aman Hills pada 3 Julai lalu kerana mencuri empat bungkus coklat, sekali gus membawa kepada penangkapannya selepas disoal siasat,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Firdaus Mohammad, memberitahu mahkamah bahawa defendan mempunyai dua sabitan sebelumnya di bawah Akta Imigresen dan satu lagi kerana mencuri di sebuah bangunan.
Walaupun majistret mempertimbangkan pengakuan salah, beliau menegaskan bahawa defendan tidak menghormati kawalan sempadan Brunei dan mendedahkan negara itu kepada risiko wabak COVID-19.
Mahkamah turut berpendapat dia boleh menyebarkan virus itu jika dijangkiti apabila memasuki negara itu secara haram Mac lalu.