Masyarakat Cina berdiri teguh pertahankan kepimpinan Hajiji demi kemajuan Sabah

Masyarakat Cina berdiri teguh pertahankan kepimpinan Hajiji demi kemajuan Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU, 23 September – Masyarakat Cina di negeri ini berdiri teguh bersama kerajaan Sabah di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor demi memastikan kestabilan, keharmonian dan kemajuan negeri terus terjamin.

Presiden Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Huazong), Tan Sri Panglima Dr Goh Tian Chuan berkata, kepimpinan Hajiji terbukti sentiasa prihatin terhadap pelbagai inisiatif masyarakat, termasuk penganjuran acara kebudayaan yang mendapat sokongan berterusan kerajaan negeri.

Beliau yang juga Presiden Gabungan Persatuan Cina Malaysia (FCAS) berkata setiap tahun kerajaan negeri tidak pernah gagal menyalurkan peruntukan yang semakin meningkat bagi penganjuran Pesta Perahu Naga Antarabangsa serta Pesta Kebudayaan Cina Malaysia.

“Di negeri lain, peruntukan untuk program kebudayaan terpaksa melalui pelbagai proses permohonan, tetapi di Sabah, surat dihantar terus mendapat kelulusan dan bantuan. Inilah bukti kepimpinan Ketua Menteri yang benar-benar mengambil berat,” katanya ketika berucap di Majlis Malam Mesra Ketua Menteri Sabah bersama masyarakat Cina, sekolah-sekolah dan badan-badan keagamaan bukan Islam di sini malam tadi.

Hadir sama, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dan Menteri Kewangan Sabah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pemberian Bantuan Kewangan Kerajaan Negeri kepada Sekolah-Sekolah dan Badan-Badan Keagamaan Bukan Islam, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun serta tokoh-tokoh komuniti Cina dalam bidang pendidikan, perniagaan dan badan keagamaan.

Beliau menegaskan bahawa kesejahteraan dan keharmonian masyarakat tidak akan datang dengan sendirinya, sebaliknya memerlukan usaha bersepadu daripada semua pihak.

“Jika kita menghargai apa yang kita nikmati hari ini, masyarakat Cina perlu menyokong dan berdiri teguh bersama kepimpinan Hajiji Noor demi kesinambungan pembangunan Sabah,” ujarnya.

Tambah beliau, walaupun kerajaan negeri berdepan pelbagai cabaran, setiap masalah harus dilihat sebagai peluang untuk bekerjasama dalam memperkukuh ekonomi dan kesejahteraan rakyat Sabah secara menyeluruh.