KUALA LUMPUR – Pemain industri pelancongan memuji keputusan kerajaan Sabah untuk melonggarkan keperluan ujian COVID-19 bagi pengunjung yang sudah divaksin sepenuhnya sebelum masuk ke Sabah.
Presiden MATTA, Datuk Tan Kok Liang, berkata pengumuman itu tepat pada waktunya bagi membina semangat pengusaha pelancongan dalam memasarkan Sabah sebagai pilihan destinasi percutian sepanjang tempoh MATTA Fair.
“Pastinya, pengembara perniagaan dan pelancong pasti mengalu-alukan perkembangan ini. Ia sangat baik untuk pelancongan dan ia akan mewujudkan kesan ‘spin-off’ ekonomi, dengan sektor perhotelan, sektor pengangkutan, dan restoran dipenuhi…
“Ketua Menteri Sabah sangat proaktif, dan beliau melihat keperluan untuk menggerakkan industri pelancongan dan meningkatkan kedatangan pelancong,” katanya ketika ditemui pada pameran MATTA Fair ke-49 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini.

Sebelum ini, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan Sabah akan membenarkan pengunjung yang diberi vaksin sepenuhnya memasuki negeri ini tanpa ujian swab mulai Disember.
Beliau turut berkata Sabah bersedia sepenuhnya untuk mengalu-alukan ketibaan pelancong asing apabila Malaysia membuka semula sempadannya tahun depan.
Hajiji berkata demikian ketika merasmikan pameran MATTA Fair itu yang akan berlangsung sehingga 21 November 2021.
Turut hadir Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Jafry Ariffin dan Pembantu Menteri Datuk Joniston Bangkuai; Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif; dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Sr Safar Untong, antara lain.
Dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa, Kok Liang berkata industri pelancongan berharap lebih banyak Laluan Bagi Orang Sudah Divaksinasi (VTL) dilaksanakan dengan negara lain untuk mengalu-alukan kemasukan pelancong asing
“Negara Singapura sudah mempunyai pengaturan VTL dengan 15 negara dan akan menambah enam negara lagi (termasuk negara dari Asia, Eropah, Timur Tengah dan Amerika Utara) dalam senarai menjelang 6 Disember 2021…
“Oleh itu, kami menggesa kerajaan untuk segera mewujudkan lebih banyak VTL atau Gelembung Pelancongan untuk menarik permintaan, terutamanya ketika musim cuti akan datang. Selain Langkawi, destinasi pelancongan popular lain, seperti Kota Kinabalu dan Pulau Pinang, tidak boleh diabaikan selain,” katanya.
Hari pertama pameran MATTA Fair menyaksikan orang ramai berpusu-pusu ke WTC untuk meninjau dan mendapatkan maklumat tentang promosi pelancongan yang ditawarkan oleh 255 gerai pameran.
Sabah mempunyai 12 gerai pameran, di mana Lembaga Pelancongan Sabah (STB) dan pempamernya akan mempromosi serta memasarkan pelbagai jenis tawaran pelancongan yang menarik di negeri ini.
Joniston, yang juga pengerusi STB, menggalakkan orang ramai untuk mengambil peluang daripada MATTA Fair untuk menerokai Sabah lebih-lebih lagi memandangkan ujian calitan Covid-19 bakal dilonggarkan.
“Kami sedia maklum bahawa keperluan ‘swab test’ telah menjadi penghalang kepada individu khususnya mereka yang melancong bersama keluarga yang ingin melawat Sabah…
“Perjalanan rentas Sabah kini telah dipermudahkan. Inilah masa untuk semua orang memanfaatkan peluang ini untuk mula merancang percutian ke Negeri di Bawah Bayu, di mana banyak pengembaraan sentiasa menanti para pengunjung,” katanya.





