PITAS: Seorang wanita ditemukan meninggal dunia selepas ditemui terapung di Sungai Kampung Nibang, Pitas, pagi kelmarin.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Balai Polis Pitas pada jam 7.21 pagi memohon bantuan mengangkat mangsa.
“Sebaik tiba di lokasi pada jam 8.15 pagi, Komander Operasi PBK I Gabuh Maradan bersama lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pitas mendapati terdapat seorang mangsa perempuan dewasa terapung di sungai tersebut.
“Pasukan bomba kemudian bertindak membawa naik mangsa menggunakan tali sebelum menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
Operasi turut dibantu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan diserahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.19 pagi selepas bomba memastikan tiada lagi risiko bahaya lain di kawasan berkenaan.






