
KOTA KINABALU, SABAH – McDonald’s Malaysia dan Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) menjalin kerjasama untuk membina hab pembekalan makanan lengkap.
Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, perjanjian berkenaan menyaksikan pemerolehan empat ekar tanah di kawasan milik KKIP bagi pembinaan hab pembekalan makanan yang lengkap untuk syarikat khidmat segera tersebut di Malaysia Timur.
“Hab ini akan melibatkan tiga pembekal utama kami iaitu Bimbo QSR, Tyson Foods dan HAVI Logistics dan merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia khusus bagi memenuhi keperluan restoran-restoran kami di Sabah dan Sarawak.
“Selain melancarkan lagi pengurusan bekalan di Malaysia Timur, hab ini mampu mengurangkan kos bekalan dan menjimatkan masa.
“Penyediaan fasiliti yang lengkap di KKIP mampu memantapkan lagi penyampaian para pembekal kami seiring dengan rancangan pertumbuhan McDonald’s di Malaysia Timur,” ujarnya ketika berucap semasa Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara McDonald’s Malaysia dan KKIP di sini, pada Jumaat.
McDonald’s Malaysia diwakili Azmir, KKIP diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Lawrence Kimkuan, Bimbo QSR diwakili Naib Presiden Transformasi Global, Natasha Galavotti, Naib Presiden Unit Perniagaan Malaysia, Victor Shim mewakili Tyson Foods, HAVI Logistics Malaysia diwakili Timbalan Pengurus Besarnya, Dominic Alexander Lopez dan disaksikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Sementara itu, Azmir turut memaklumkan McDonald’s akan membuka lima lagi restoran baharu di Sabah iaitu di Bandar Sierra, Tuaran Bypass, Lapangan Terbangan Antarabangsa Kota Kinabalu, Papar dan Pekan Tuaran.
“Pembukaan restoran ini dijangka mampu mewujudkan 500 peluang pekerjaan tambahan.
“Perkembangan ini juga bertepatan dengan aspirasi syarikat untuk mewujudkan 650 restoran McDonald’s di seluruh negara menjelang 2030 dengan 5,000 peluang pekerjaan,” tambah beliau.
Dalam majlis sama, Azmir menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM100,000 kepada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) yang diwakili Ketua Pegawai Operasi, Ramlan Awang Ali.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Noorliza Awang Alip dan Pengarah Perhubungan Kerajaan McDonald’s Malaysia, Datuk Seri Mohammed Nasir Rakhir. — JABATAN PENERANGAN SABAH