KOTA KINABALU, SABAH – Dikenali dengan tindakan yang cukup licik sehingga mampu menumbangkan Kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Utama (PRU) kali ke-14 pada tahun 2018, Parti Warisan Sabah yang diketuai oleh Datuk Seri Shafie Apdal dilihat sekali lagi cuba menjadikan Parti Bersatu Sabah (PBS) sebagai sasaran baru mereka.
Fakta yang rakyat Sabah perlu imbau kembali adalah, pada 10 Mei 2018 Tan Sri Musa Aman telah mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri Sabah, tetapi telah dirampas oleh Shafie Apdal.

Fakta turut memberitahu kepada rakyat Sabah bahawa pada PRU ke-14, Barisan Nasional (BN) telah menerima mandat bagi membentuk Kerajaan Negeri Sabah selepas memperolehi sebanyak 31 kerusi.
BN memperolehi 29 kerusi dan Parti STAR 2 kerusi kemudian bergabung membentuk kerajaan menjadikan jumlah keseluruhan kerusi kerajaan gabungan BN/STAR pada 10 Mei 2018 adalah sebanyak 31 kerusi.

Sebaliknya Parti Warisan Sabah hanya menang 21 kerusi DUN, manakala DAP dan PKR sebanyak 8 kerusi.
Shafie Apdal telah dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah yang kedua hanya dalam tempoh beberapa hari selepas UPKO mengisytiharkan keluar daripada Barisan Nasional dan seterusnya berlaku khianat oleh beberapa ADUN melompat parti bagi menyokong Shafie Apdal.

Menurut Gabungan NGO Bebas Suara (BEBAS), sebelum ini Parti UPKO telah terjerat sehingga sanggup menjadi pengkhianat dan telah menerima nasib malang, Parti Warisan kali ini dilihat berterusan pula melobi Parti PBS agar bersama Parti Warisan bagi membentuk Kerajaan Sabah yang baharu.

“Cubaan membeli ADUN PBS dengan wang ringgit bukan kali pertama cuba dilakukan oleh Parti Warisan Sabah dan pihak SPRM sepatutnya tampil ke hadapan untuk menyiasat perkara jijik ini dari terus berlaku.”
“Shafie Apdal, pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli Parti Warisan Sabah jelas masih belum dapat menerima kenyataan bahawa rakyat Sabah secara ‘total’ telah menolak Parti Warisan.”
Sebelum ini Parti Bersatu Sabah (PBS) turut mendakwa “parti kapal” itu berusaha untuk memancing Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PBS yang baru sahaja dipilih sementara menunggu pembentukan kerajaan baharu selepas PRN ke-16 yang lalu, kejadian itu berlaku dikatakan pada bulan sept 2020.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan GRS yang juga ADUN PBS Kiulu Datuk Joniston Bangkuai menolak dakwaan di media sosial bahawa Datuk Seri Shafie Apdal akan kembali dan dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah hasil sokongan PBS.
Datuk Joniston Bangkuai berkata ini adalah “perbincangan kosong” sambil memberi jaminan kerana Kerajaan Negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kekal stabil.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 yang lalu, PBS berjaya memperoleh kemenangan di 7 kerusi ditandingi mereka iaitu di Matunggong, Tandek, Tamparuli, Kiulu, Lumadan, Kundasang dan Telupid.
Syihab Al-Hadi, seorang penganalisis politik bebas ketika ditanya memgenai isu yang tular di media sosial kononnya Shafie Apdal akan kembali menjadi Ketua Menteri Sabah pula berkata ini semua hanyalah khayalan pemimpin dan ahli Parti Warisan Sabah.
“Sekalipun Presiden PBS mencadangkan kerjasama dengan Parti Warisan Sabah, saya berkeyakinan cadangan ini akan ditolak sepenuhnya oleh Ahli Majlis Tertinggi PBS termasuk 7 Adun PBS…
“Tindakan Shafie Apdal mahu mengadakan kerjasama dengan PBS juga dilihat sebagai satu penghinaan kepada UPKO. Fungsi UPKO untuk menarik sokongan pengundi KDM kepada Shafie Apdal juga dilihat telah GAGAL sepenuhnya. Oleh sebab itu PBS dijadikan pula sebagai sasaran baru mereka (Parti Warisan Sabah) bagi menggantikan peranan UPKO,” ujarnya lagi.
