SANDAKAN, SABAH – Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (Mk ATB 2) menerusi Skuadron Bot Mk ATB 2 telah memberikan bantuan dan pertolongan kepada sukarelawan Hunger Hurts pada Sabtu dan Ahad lalu.
Hunger Hurts merupakan sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang berpusat di Shah Alam, Selangor yang berhasrat mengagihkan bantuan kepada penduduk Pulau Berhala dan Kampung Tanjung Batu Darat di sini.
Penerima bantuan adalah mereka yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
Jurucakap Mk ATB 2 berkata Ini merupakan kerjasama yang kedua bersama Hunger Hurts selepas julung kalinya dilaksanakan di Pulau Berhala pada 10 Januari yang lalu.
“Bantuan yang disumbangkan pada kali ini adalah dalam bentuk makanan dan barangan keperluan harian dan telah disalurkan kepada seramai 400 orang penduduk yang telah dikenal pasti mengalami kesempitan hidup akibat kehilangan pekerjaan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Manakala menurut Pengarah Program, Puan Nur Syarina binti Ali, COVID-19 telah banyak memberi kesan terhadap rakyat Malaysia termasuklah di Sabah.
“Hal ini telah menyebabkan mereka tidak dapat meneruskan pekerjaan seperti biasa bagi menyara kehidupan seharian. Justeru itu, program kali ini memberikan fokus terhadap keluarga yang benar-benar terjejas di kedua-dua penempatan ini,” katanya.
Program ini turut mendapat kerjasama penuh dan pujian daripada Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim bin Ahmad.
Menurut beliau, aktiviti sebegini dapat mengeratkan lagi hubungan dan kerjasama di antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan masyarakat awam melalui NGO yang terlibat.
“Mk ATB 2 juga akan membantu menyalurkan maklumat berkaitan penempatan-penempatan penduduk yang terjejas di sepanjang kawasan tanggungjawa markas ini kepada mana-mana NGO yang memerlukan.
“Selain itu, aktiviti ini secara tidak langsung merupakan salah satu usaha Mk ATB 2 dalam menyokong misi bantuan kemanusiaan selaras dengan konsep Military Operation Other Then War (MOOTW) di masa aman,” jelasnya.