PETALING JAYA – Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi boleh digulingkan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) jika mendapat undi tidak percaya dua pertiga ahlinya, demikian menurut Noh Omar.
Dalam satu kenyataan yang dipetik FMT, bekas ahli MKT UMNO itu berkata, ini melibatkan undian antara 25 MKT yang dipilih dan 12 dilantik bagi jawatan itu dalam parti berkenaan.
Bagaimanapun, Noh mengakui perkara itu sukar diperoleh berdasarkan pengalamannya selama 29 tahun menjadi ahli MKT yang terpilih dalam pemilihan UMNO.
“Bukan mudah hendak mendapatkan dua pertiga kerana kita kena ingat yang bertanding 25 orang, tetapi yang dilantik pula…
“Takkan MKT yang dilantik itu hendak ikut mereka (MKT) yang dipilih. Kalau kata hendak dapatkan atau gulingkan presiden sebab MT ramai, itu mustahil. Namun boleh buat dengan dua pertiga iaitu mengikut perlembagaan,” kata bekas ketua UMNO Selangor itu menurut Kosmo.
Zahid dan timbalannya, Mohamad Hasan, akan mengekalkan dua jawatan tertinggi UMNO selepas usul tidak mempertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden diluluskan pada perhimpunan agung parti.

Sementara itu, Noh yang dipecat pada Januari lalu berkata beliau akan kembali kepada UMNO jika berlaku pertukaran individu yang memegang jawatan nombor satu parti.