KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa semua pihak agar terus meletakkan kepercayaan kepada sistem perundangan serta kehakiman negara sebagai institusi bebas dan berkecuali.
Beliau berkata, kerajaan mengambil maklum keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari yang mensabitkan Datuk Seri Najib Razak bersalah atas semua tujuh pertuduhan membabitkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.
“Saya memahami perasaan dan sentimen rakan terhadap keputusan dibuat mahkamah. Namun begitu, saya ingin menegaskan kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan sentiasa menegakkan prinsip kedaulatan undang-undang…
“Kerajaan menghormati hak Datuk Seri Najib untuk merayu atas hukuman dijatuhkan mahkamah. Sama-samalah kita beri ruang kepada proses undang-undang untuk memastikan keadilan dapat ditegakkan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Terdahulu, bekas Perdana Menteri itu dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan pecah amanah, rasuah dan salah guna kuasa membabitkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.
Bagaimanapun, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan Najib untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta itu sehingga rayuan diputuskan.