SANDAKAN, SABAH – Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah (PPM W4) berjaya menahan dan merampas dua (2) buah kapal ikan milik warganegara Vietnam yang menceroboh perairan Sandakan secara haram lewat pagi kelmarin.
Bertindak atas maklumat risikan awam dan tindakan pantas Unit Risikan Marin, Polis Marin Sandakan telah merangka tindakan pengoperasian membanteras pencerobohan tersebut di kawasan Utara Laut Pulau Langkayan.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, ACP Ahmad Ariffin berkata, pihaknya telah menangkap kesemua nelayan yang merupakan nelayan Vietnam.
Mereka terdiri daripada juragan dan awak-awak kapal berkenaan seramai 11 orang lelaki berumur 10 hingga 49 tahun…
“Pemeriksaan awal mendapati kesemua suspek tidak mempunyai keterangan diri serta tiada kebenaran atau permit bagi menjalankan aktiviti menangkap ikan di Perairan Malaysia secara sah dari Jabatan Perikanan Malaysia.
“Tangkapan ini melibatkan rampasan dua (2) buah kapal, lapan (8) set peralatan menangkap gamat dan hasil gamat yang dicuri dari perairan negara disimpan dalam beberapa buah tong yang diperolehi secara haram,” katanya.
Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM 2,873,000 keseluruhannya.
Tambahnya lagi, juragan kapal terbabit telah menyalahi undang-undang di bawah seksyen 25(a) Akta Perikanan 1985 yang boleh dikenakan denda tidak melebihi sejuta ringgit setiap seorang dalam hal empunya atau nakhoda, dan seratus ribu ringgit dalam hal tiap-tiap anggota kru dan seksyen 11(3)(b) Akta Perikanan 1985 kerana menggunakan peralatan perikanan yang tidak dilesenkan.
Juragan serta kru kapal juga tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan boleh didakwa dibawah seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“PPM W4 Sabah tidak akan berkompromi dengan mana-mana sindiket jenayah rentas sempadan.
“Tindakan secara proaktif dan agresif akan diambil bagi memerangi jenayah rentas sempadan.
“Justeru itu, masyarakat juga disarankan menyalur maklumat berkaitan jenayah rentas sempadan kepada PPM W4 Sabah di talian Gerakan PPM IPK Sabah 013-9391197 ataupun 089-221453,” katanya.