KOTA KINABALU, SABAH – Persatuan Kebudayaan dan Kebajikan Etnik Kujau Gana Nabai Sabah (KGNS) mengecam tindakan menghina Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah di media sosial.
Timbalan Presidennya, Yazid Hasnan Tawik @ Charles, berkata komen negatif terhadap susulan pelantikan TYT sebagai Canselor Keempat Universiti Malaysia Sabah (UMS) adalah tidak beradab dan mencemar imej negeri.
Beliau menasihatkan rakyat, terutama golongan muda, agar lebih berhemah di media sosial kerana undang-undang seperti Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 boleh diambil terhadap mereka yang menyalahgunakannya.
Menurut Yazid, perbezaan pandangan adalah biasa, namun tidak wajar sehingga menghina institusi tertinggi negeri.
Dalam masa sama, beliau mengucapkan tahniah kepada Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Musa Haji Aman atas pelantikannya sebagai Canselor Keempat UMS pada 2 November lalu dan yakin pengalaman beliau akan memperkukuh kecemerlangan akademik di Sabah.






