NEW JERSEY – Jabatan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (FDA) pada Isnin baru-baru ini telah meluluskan sepenuhnya penggunaan vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech untuk diberikan kepada individu berusia 16 tahun ke atas.
Ini menjadikan vaksin jenis Pfizer-BioNTech adalah vaksin COVID-19 yang pertama mendapat kelulusan penuh FDA.
Vaksin berkenaan sebelum ini hanya dibenarkan untuk kegunaan darurat sejak Disember tahun lalu dan lebih 204 juta penduduk di Amerika Syarikat sudahpun menerima suntikan vaksin tersebut.
Menurut FDA yang dipetik Reuters, vaksin itu juga akan terus disediakan di bawah kelulusan kegunaan darurat (EUA), termasuk bagi individu berusia 12 hingga 15 tahun dan untuk pemberian dos ketiga.
Pfizer sebelum ini telah memenuhi piawaian saintifik FDA untuk kegunaan darurat dan kelulusan penuh itu diharap akan meningkatkan lagi keyakinan orang ramai terhadap vaksin Pfizer yang selamat dan berkesan.
“Meskipun jutaan individu sudahpun selamat menerima suntikan vaksin-vaksin COVID-19, kami sedia maklum bahawa bagi sesetengah orang, kelulusan FDA mungkin boleh meningkatkan keyakinan mereka untuk mendapatkan vaksin,” kata Dr Janet Woodcock, pemangku pesuruhjaya FDA.