KOTA KINABALU, SABAH – Wang simpanan Yayasan Sabah yang dianggarkan berjumlah RM500 juta kini hanya tinggal RM60 juta selepas 26 bulan Shafie Apdal menjawat jawatan Ketua Menteri Sabah.
Menurut Gerakan Anti Rasuah Malaysia (GERAM), semasa Shafie Apdal mengambil alih jawatan Ketua Menteri Sabah daripada Tan Sri Musa Aman, wang simpanan Yayasan Sabah dianggarkan berjumlah RM500 juta dan menurut maklumat dari sumber yang diterima wang tersebut kini hanya tinggal RM60 juta.
GERAM dalam satu kenyataan yang dihantar kepada Sabahnews.com.my berkata, pihaknya akan melaporkan kehilangan wang tersebut kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa terdekat ini.
“Pihak kami turut menerima maklumat bahawa rizab kewangan Negeri Sabah yang berjumlah RM3.7 billion sebelum ini juga kini berbaki hanya satu RM1 billion, rakyat meminta kami membawa isu ini dan mereka ingin tahu ke mana hilangnya wang rakyat Sabah sepanjang 26 bulan lalu Shafie mengetuai pentadbiran negeri Sabah.
“Justeru, pihak yang berkelayakan menyiasat perkara ini hanyalah pihak SPRM.”
Sebelum ini, Shafie Apdal turut dikecam oleh sebilangan besar rakyat Sabah apabila telah menggunakan jutaan ringgit wang Yayasan Sabah bagi mengubah suai rumah kediaman Shafie Apdal sendiri yang telah disediakan oleh Yayasan Sabah kepada Ketua Menteri termasuklah membina kolam renang mewah hanya selepas sebulan Shafie menjadi Ketua Menteri Sabah.
Majoriti rakyat Sabah sebelum ini juga turut tampil membantah dan menyatakan ini adalah jelas satu pembaziran wang rakyat
Dalam pada itu, Gabungan NGO Bebas Suara (BEBAS) dalam satu kenyataan juga turut menyatakan pihaknya juga akan tampil membuat satu laporan rasmi kepada pihak SPRM bagi meminta siasatan ke atas aktiviti pembalakan haram semasa Shafie Apdal menjadi Ketua Menteri Sabah.
Taktik kotor Shafie Apdal ketika ini apabila ditegur mengenai kelemahannya mengurus tadbir Kerajaan Negeri Sabah termasuk aktiviti pembalakan haram yang berleluasa semasa Kerajaan Warisan mentadbir Sabah, Shafie akan terus menghalakan tohmahan dan fitnah ke atas kerajaan terdahulu termasuk Tan Sri Musa Aman.
VIDEO yang pernah tular sebelum ini jelas memperlihatkan puluhan lori balak mengangkut balak membanjiri jalan raya mengundang KEMARAHAN rakyat Sabah…
“Kami cabar Shafie Apdal untuk tunjukkan bukti mengenai salah laku kerajaan terdahulu di dalam menguruskan ekonomi negeri Sabah termasuklah pengurusan hutan, fitnah ini jelas menunjukkan sengaja dibuat bagi menutup kelemahan pentadbiran Shafie sendiri,” tegas BEBAS.
Untuk rekod, sebelum Tan Sri Musa Aman mengambil alih jawatan Ketua Menteri Sabah pada tahun 2012 rizab (simpanan) kewangan hanya berjumlah RM180 juta, namun hasil kecekapan mengurus tadbir kewangan negeri, rizab kewangan sebanyak RM3.7 bilion pada tahun 2017 telah berjaya dikumpulkan.
Musa juga turut dikenali sebagai ‘Arkitek’ dan ‘Bapa Pembangunan Sabah’ kerana amat bijak menyusun agenda pembangunan ekonomi Negeri di Bawah Bayu ini dengan merangka Agenda Hala Tuju Pembangunan dan Kemajuan Negeri Sabah (Halatuju) yang memberi tumpuan kepada pengurusan ekonomi yang cekap dan mengurangkan pergantungan kepada hasil sumber asli.
Selain itu juga, negeri Sabah kerap diberi ‘Rating A’ hampir saban tahun bermula 2003 oleh Ketua Audit Negara.
Tahun 2017 di dalam usaha kerajaan negeri memulihara hutan, khususnya mengembalikan fungsi serta produktiviti hutan dan memelihara ekosistem semula di kawasan yang dilindungi, sebanyak 700,000 hektar hutan Sabah telah mendapat pensijilan menerusi Forest Stewardship Council (FSC) yang digabungkan dengan Program Eropah Bagi Kelulusan Pensijilan Hutan (PEFC) yang mana WWF juga turut mengiktiraf hasil usaha ini.
Sebanyak 53 peratus (53%) atau 3.9 juta kawasan tanah di Sabah turut diubah menjadai hutan simpan, kawasan dilindungi dan kawasan perlindungan hidupan liar.