NRES Komited Urus Alam Sekitar Secara Mapan

NRES Komited Urus Alam Sekitar Secara Mapan

0
SHARE
Nik nazmi
Para pelajar yang terlibat bergambar bersama menteri pada majlis tersebut ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) komited melaksanakan pengurusan alam sekitar secara mapan dan terpelihara.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, NRES telah menyusun pelbagai program bagi memastikan hasrat kerajaan dalam memelihara alam sekitar terlaksana.

“Kementerian mahu semua lapisan masyarakat sedar bahawa sudah menjadi amanah dan tanggungjawab kita untuk menjaga dan memelihara alam sekitar bagi memberi persekitaran hidup yang mampan, selesa dan sihat.

“Pelbagai kaedah dan aktiviti dilaksanakan umpamanya mengadakan Festival Teknologi Hijau Dan STEM, Biodiversiti Secara Dalam Talian Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 yang juga dijadikan medium supaya ilmu dan pengetahuan kelestarian alam sekitar dapat disebarluaskan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Hadiah Kepada Pemenang Festival Teknologi Hijau dan STEM-Biodiversiti bagi Tahun 2023 di SM All Saints.

Pada majlis tersebut, pelajar tingkatan lima sekolah berkenaan, Nathaniel Santanarajan dinobatkan sebagai pemenang pertama Kuiz Teknologi Hijau Kategori Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan mengalahkan 6 ribu peserta dari seluruh negara.

Di samping itu, Nazmi turut menyeru pemain industri agar beralih kepada penggunaan plastik terbiodegradasi dan menyatakan NRES serius menangani isu mengurangkan penggunaan plastik dan pengurusan sisa bahan tersebut.

“Kita harus memastikan bahawa plastik yang digunakan benar-benar boleh terbiodegradasi kerana pada masa ini kebanyakannya masih perlu dibawa ke kilang atau loji dan diuraikan dalam persekitaran yang terkawal,” ujarnya.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Hijau Malaysia, Dr. Muiz Murad, Penyelaras Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga dan Teknologi Hijau (CETREE) Universiti Sains Malaysia, Prof. Madya Dr. Mohd Wira Mohd Shafiei, Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Dr. Mohd Asran Amisah dan Pengetua SM All Saints, Mary Gambidau. — JABATAN PENERANGAN SABAH