PITAS, SABAH – Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Ruddy Awah berkata para golongan belia di daerah ini perlu bijak merebut peluang yang disediakan oleh kerajaan.
Jelas beliau, belia perlu peka dan pantas merebut peluang yang ada kerana kerajaan negeri mahupun persekutuan sentiasa mengambil berat dengan pembangunan belia dengan mengadakan pelbagai penganjuran program bagi tujuan tersebut.
“Belia kita sememangnya agak jauh ketinggalan dari pelbagai aspek dan mereka tidak seharusnya tercicir daripada menikmati segala kemudahan sepertimana dinikmati belia di bandar lain…
“Oleh itu, mereka haruslah merebut peluang yang disediakan bagi memastikan mereka dapat menimba ilmu sebaik mungkin bagi menjamin masa depan yang lebih cemerlang dan tidak terus ketinggalan dari arus pembangunan.
“Tahniah kepada Kementerian Belia dan Sukan Sabah kerana sentiasa peka dengan menganjurkan pelbagai program ini dan kita berharap semua belia yang hadir dapat terus memberikan manfaat serta membantu belia di daerah masing-masing,” katanya pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Bahagian Pantai Barat Utara (PBU) Tahun 2022, pada Sabtu.
Ruddy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pitas turut mengharapkan pada tahun hadapan, daerah Pitas berpeluang untuk menganjurkan sendiri sambutan Hari Belia di daerah tersebut.
Sambutan Hari Belia Peringkat Pantai Barat Utara Tahun 2022 melibatkan empat daerah iaitu Pitas, Kota Belud, Kudat dan Kota Marudu yang dijayakan bersama Perbendaharaan Malaysia Sabah melalui perkhidmatan 18 agensi menyediakan kaunter Komuniti Bergerak (Mobile Community Services).
Turut hadir, Pegawai Kewangan Persekutuan Sabah, Rafidah Datu Derin dan Penolong Pegawai Pentadbiran Daerah, Marck@Hassan Libau.





