KUDAT, SABAH – Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian N5 Matunggong mengalu-alukan kehadiran para pemimpin muda dalam perjuangan parti.
Ketua Penerangan PBS merangkap Ketua Bahagian Matunggong, Datuk Julita Majungki berkata, bagaimanapun, pemimpin muda perlu didedahkan dengan stail kepimpinan dan nilai yang dipegang oleh parti.
“Kita mahu mereka dapat menghayati dan menjadikannya sebagai pegangan mereka bila tiba masanya…
“Jenama kepimpinan PBS adalah jujur, berintegriti, setia dan boleh dipercayai. PBS adalah pejuang dan pembela nasib rakyat negeri Sabah,” katanya ketika berucap dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PBS Bahagian N5 Matunggong kali ke 36 dan 37 di mini dewan Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) di Kampung Toporoi di sini, kelmarin.

Sambil mengalu-alukan kepimpinan baharu di peringkat bahagian, pergerakan pemuda dan wanita yang dipilih dalam pemilihan yang diadakan semasa AGM tersebut, Julita berkata, kerjasama antara semua pemimpin perlu diteruskan dan diperkukuhkan untuk menguatkan lagi parti.
“PBS juga akan terus berusaha supaya kawasan yang diwakili dapat menerima pembagunan seperti mana di kawasan-kawasan yang lain.
“Masalah kurang pembangunan amat ketara. Ini adalah antara cabaran yang menjadi keutamaan kita di Matunggong,” kata Julita yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat.
Sementara itu, mengulas mengenai isu penambahan kerusi parlimen bagi negeri Sabah dan Sarawak yang dibangkitkan oleh para perwakilan, Julita mengulas lanjut, bahawa PBS menyokong usaha para ahli parlimen dari Sabah dan Sarawak yang menuntut penambahan kerusi parlimen di kedua-dua negeri itu selaras dengan peruntukan dalam Perjanjian Malaysia 1963.
“Kita sepatutnya mengekal dan menguasai 35% atau 1/3 daripada bilangan keseluruhan kerusi parlimen untuk melindungi hak di kedua-dua negeri,” katanya.
AGM berkenaan telah dirasmikan oleh Timbalan Presiden PBS merangkap Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim.
Dalam ucapan perasmian, Jahid turut menyentuh mengenai kepentingan pemimpin berintegriti dan setia kepada parti dan juga kepada kepimpinan muda.
Manakala, Persidangan pemilihan induk telah diPengerusikan oleh Pengerusi Tetap, YB Hendrus Anding. Turut hadir Ketua Wanita Pusat, Datin Malianah Ugau.
Sehubungan itu, Julita merakamkan penghargaan terima kasih kepada yang telah merasmikan AGM serta AJK pelaksana.
Daerah Matunggong merupakan bahagian terbesar PBS. Jumlah keseluruhan cawangannya ialah 129, manakala jumlah cawangan yang dapat mengadakan AGM ialah 122. Bagi jumlah perwakilan yang hadir ialah seramai 225 termasuk perwakilan pemuda dan wanita ke Induk.





