SOOK, SABAH – Sebuah stesen minyak di sini mengalami kerugian kira-kira RM4,600 selepas dipecah masuk awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Keningau Supt Yampil Garai berkata rakaman kamera litar tertutup (CCTV) merakamkan aksi jenayah yang dilakukan oleh tiga suspek.
“Mereka memecah masuk premis itu kira-kira jam 12.40 tengah malam menggunakan lastik dan kuku kambing besi.
“Ketiga-tiga suspek menggunakan Perodua Bezza berwarna merah dengan nombor pendaftaran palsu QS9191T.
“Barangan yang dilarikan termasuk wang tunai termasuk syiling berjumlah RM1,200, 200 kotak pelbagai jenis rokok dan telefon bimbit,” katanya melalui kenyataan media.
Yampil berkata pengurus stesen minyak itu dimaklumkan seorang pekerja bahawa pintu kaca hadapan premis telah pecah pada jam 5.46 pagi.
Sepasukan polis kemudian dikerah ke tempat kejadian selepas laporan diterima.