Peguam Negara Tarik Balik Tujuh Tuduhan Pecah Amanah, Raduan Gesa Reputasi Dipulihkan

Peguam Negara Tarik Balik Tujuh Tuduhan Pecah Amanah, Raduan Gesa Reputasi Dipulihkan

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Presiden Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Emeritus Datuk Dr. Raduan Che Rose menzahirkan rasa syukur selepas tujuh pertuduhan pecah amanah (CBT) berjumlah RM271,000 terhadapnya ditarik balik oleh Peguam Negara pada Rabu.

Dalam kenyataan rasmi, Raduan menyifatkan keputusan itu sebagai bukti kebenaran akhirnya terbukti dan sekaligus membersihkan namanya sebagai tokoh akademik serta pemimpin institusi negara.

“Sejak awal, saya menegaskan tuduhan ini tidak masuk akal. Rekod rasmi jelas menunjukkan saya tidak pernah menyalahgunakan dana seperti yang didakwa,” katanya.

Beliau menjelaskan, ketika krisis kewangan pasca COVID-19, beliau menggunakan simpanan peribadi serta kemudahan overdraf sebanyak RM381,000 bagi menampung kos operasi MPN termasuk sewa pejabat, gaji kakitangan dan utiliti.

“Tanpa pengorbanan ini, operasi MPN mungkin terhenti,” tambahnya.

Raduan menegaskan bahawa keputusan pengurusan yang dibuat ketika itu adalah prerogatif sah demi kelangsungan institusi, dan tidak wajar dikriminalisasikan hanya kerana melibatkan keputusan kewangan yang sukar.

Beliau menekankan prerogatif pengurusan adalah budi bicara pemimpin organisasi untuk bertindak berdasarkan kebijaksanaan dan pengalaman, bukan salah laku jenayah.

“Tuduhan ini bukan sahaja mencemarkan reputasi peribadi saya, malah menjejaskan imej MPN,” ujarnya.

Susulan keputusan tersebut, Raduan menyeru agar reputasinya segera dipulihkan dan semua spekulasi tidak berasas dihentikan.

Beliau juga menegaskan komitmennya untuk terus berkhidmat kepada negara melalui dunia akademik dan kepemimpinan intelektual.

Pada Ogos lalu, Raduan bersama Ketua Pegawai Eksekutif MPN Global Reach (MPNGR), Profesor Datuk Dr. Kefli Mahbol, didakwa di Mahkamah Sesyen Kajang atas tujuh pertuduhan pecah amanah di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua hingga 20 tahun, sebatan dan denda. Kedua-duanya mengaku tidak bersalah.

Bagaimanapun, semua pertuduhan ditarik balik oleh Peguam Negara pada 1 Oktober selepas semakan semula dibuat.

Firma guaman AM Zaharil & Co yang mewakili Raduan turut merakamkan penghargaan kepada pihak Peguam Negara atas penelitian semula fakta kes.

Peguam Negara menjelaskan, asas pertuduhan berpunca daripada salah faham berhubung pendahuluan modal yang telah dibayar balik serta bayaran kemajuan projek yang sah digunakan. Audit Forensik turut mengesahkan tiada bukti penyelewengan dana ditemui.