Hanya Lapan Kes Kanak-Kanak Alami Kesan Sampingan Vaksin

Hanya Lapan Kes Kanak-Kanak Alami Kesan Sampingan Vaksin

0
SHARE

KOTA BHARU, KELANTAN – Hanya lapan kes kanak-kanak yang menerima suntikan vaksin COVID-19, dilaporkan mengalami kesan sampingan.

Menurut laporan Berita Harian, Kementerian Kesihatan (KKM) Timbalan Menterinya, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata lapan kes berkenaan dilaporkan termasuk di Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun, kesan sampingan yang dialami kanak-kanak berkenaan hanya kategori ringan iaitu mereka mengalami bengkak dan kesan merah di tempat suntikan…

“Setakat semalam, seramai 246, 868 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun menerima suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids), dan hanya 0.006 peratus mengalami kesan sampingan.

“Jumlah berkenaan menyaksikan suntikan vaksin menerusi PICKids baru mencapai tujuh peratus, iaitu masih rendah jika dibandingkan kanak-kanak yang layak menerima vaksin adalah seramai empat juta orang.

“Justeru, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) perlu bekerjasama erat dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) bagi meyakinkan ibu bapa supaya membawa anak mereka untuk menerima suntikan vaksin,” katanya pada sidang media.

Dr Noor Azmi berkata, pihaknya menyasarkan seramai 3.6 juta iaitu 80 peratus kanak-kanak menerima vaksin menerusi PICKids.

“Kita berharap ibu bapa sedar mengenai kepentingan pengambilan suntikan vaksin memandangkan peningkatan kes COVID-19 disebabkan varian Omicron…

“Data menunjukkan sehingga tahun lalu, seramai 278,000 kanak-kanak dijangkiti COVID-19 dan 63 daripadanya meninggal dunia.

“Walaupun kita katakan kanak-kanak ini bila dijangkiti COVID-19, kebanyakan mereka mengalami simptom biasa namun ada juga yang mengalami kesan teruk termasuk keradangan di pelbagai organ sehingga dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU),” katanya.

Justeru, beliau berkata, ibu bapa diminta tidak mendengar berita palsu sehingga takut untuk membawa anak-anak menerima vaksin.

“Jangan dengar berita palsu daripada mereka yang bukan pakar dan tidak pasti. Apa yang dilakukan kerajaan adalah untuk melindungi kanak-kanak daripada mengalami jangkitan teruk,” katanya.