Semua Tiket Penyokong England Bagi Menyaksikan Suku Akhir EURO 2020 Dibatalkan UEFA

Semua Tiket Penyokong England Bagi Menyaksikan Suku Akhir EURO 2020 Dibatalkan UEFA

0
SHARE

ROME, ITALI – Semua tiket yang dijual kepada penyokong dari England bagi menyaksikan suku akhir Euro 2020 menentang Ukraine di Rom hujung minggu ini telah dibatalkan oleh Badan induk bola sepak Eropah (UEFA).

Menurut sumber Pihak Berkuasa Itali, perkara itu disebabkan untuk menghalang penyokong tersebut berkunjung ke ibu kota Itali dan tidak mengikut peraturan kuarantin COVID-19.

Peraturan kesihatan Itali mengenakan peraturan iaitu penyokong yang tiba dari Britain perlu menjalani kuarantin selama lima hari.

Memetik kenyataan AFP, Menteri Dalam Negeri Itali dalam satu kenyataan berkata; “ianya bagi mengelak peraturan ini disalah guna, ‘polisi tiket spesifik digunakan’ bagi saingan kelompok lapan terakhir awal pagi Ahad ini.”

UEFA, selepas pengumuman itu, membuat keputusan untuk menghalang penjualan dan pertukaran tiket bermula hari ini bahkan membatalkan tiket yang dijual kepada penduduk UK bermula tengah malam tadi.

Walau bagaimanapun, jumlah tiket yang telah dibatalkan tidak dimaklumkan.

Badan induk bola sepak England (FA) diberikan sejumlah 2,560 tiket, menyamai 16 peratus daripada kapasiti dibenarkan iaitu 16,000 di Stadio Olimpico, Rom.

Andrea Costa, setiausaha kesihatan Itali, mengulangi kenyataan bahawa individu yang tiba dari Britain perlu menjalani kuarantin selama lima hari.

Britain berdepan peningkatan kes baharu COVID-19 membabitkan varian Delta yang kali pertama dikesan di India walaupun kejayaan program vaksin di negara berkenaan.