130 Calon STPM Sabah Peroleh PNGK 4.0

130 Calon STPM Sabah Peroleh PNGK 4.0

0
SHARE
Stpm
Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), Nurani Fauziah Derin bergambar bersama pelajar cemerlang dalam Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bertempat di Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Seramai 130 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023 di Sabah memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0, berbanding 75 calon pada tahun sebelumnya.

Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran
Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), Nurani Fauziah Derin berkata bilangan calon yang mendaftar untuk menduduki peperiksaan STPM 2023 adalah sebanyak 8,289 calon berbanding 7,618 calon mendaftar STPM 2022.

Katanya, bilangan calon dan peratusan longgokan calon STPM 2023 telah meningkat berbanding tahun 2022 dimana bagi PNGK 3.75 dan ke atas telah merekodkan seramai 459 calon (5.5 peratus)

Mengulas lanjut, bagi PNGK 3.00 ke atas mencatatkan sebanyak 2,705 calon (32.6 peratus), PNGK 2.75 ke atas sebanyak 1,113 calon (13.42 peratus) dan PNGK 2.00 ke atas sebanyak 2,720 calon (32.81 peratus).

“Dengan penambahan bilangan calon pada PNGK yang telah disebut ini, maka boleh dijadikan jangkaan, Insya Allah seperti tahun lepas, tiada halangan lebih ramai calon lepasan STPM diterima masuk ke universiti awam pada tahun ini berbanding lepasan STPM tahun 2022,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membacakan teks ucapan Pengarah JPNS, Datuk Raisin Saidin dalam Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bertempat di Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu, di sini, semalam.

Dalam pada itu, beliau turut berkata peratusan calon STPM 2023 yang mendapat lulus penuh dalam lima subjek berbanding STPM 2022 merekodkan peningkatan sebanyak 0.21 peratus, iaitu daripada 4.63 peratus pada tahun 2022 kepada 4.84 peratus pada tahun 2023.

“Selain itu, peratusan calon STPM 2023 yang mendapat lulus penuh dalam empat mata pelajaran berbanding STPM juga menunjukkan peningkatan sebanyak 1.62 peratus, iaitu daripada 68.59 peratus pada tahun 2022 kepada 70.21 peratus pada tahun 2023,” katanya.